Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Rempuhan: Lebih 100 penganut Hindu maut



THIRUVANANTHAPURAM, India 15 Jan. - Satu rempuhan berpunca daripada nahas jalan raya pada waktu malam di sebuah hutan tebal, mengorbankan lebih 100 penganut Hindu di negeri selatan India, Kerala, lapor polis dan pegawai hari ini.
Timbalan Jeneral Polis negeri memberitahu pemberita, seramai 102 maut dalam kejadian tersebut.
Menteri Hal Ehwal Kuil Kerala, Ramachandran Kadannappally berkata, pegawai di kuil sebuah Hindu meletakkan jumlah korban sekitar 100 orang.
Ketua Menteri Kerala, V.S Achuthanandan meminta satu mesyuarat tergempar diadakan ketika Perdana Menteri India, Manmohan Singh menjanjikan bayaran pampasan sebanyak 100,000 rupee (RM6,908) kepada setiap keluarga yang anggotanya terbunuh, lapor Press Trust of India.
"Ini adalah satu insiden yang malang. Perdana Menteri telah menghubungi kami dan menjanjikan langkah-langkah yang bakal diambil.
"Kerajaan saya akan menentukan jumlah pampasan yang patut diberi," kata Achuthanandan kepada CNN-IBN.
Beratus-ratus ribu penganut Hindu berkumpul di kuil Sabarimala yang terletak di puncak bukit malam semalam, bagi menghadiri hari terakhir festival agama tahunan yang diadakan selama dua bulan.
Kadannappally berkata, sebuah bas membawa penganut Hindu dalam perjalanan pulang ke negeri jiran, Karnataka, berlanggar dengan sebuah jip sebelum hilang kawalan dan melanggar orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Orang ramai yang panik bertempiaran lari menyelamat diri menyebabkan insiden rempuhan berlaku.
"Operasi menyelamat sangat sukar dilaksanakan kerana insiden berlaku di hutan tebal yang jalan-jalannya sangat sempit," katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment