Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Rayuan Yuan Tyng dera Siti Hajar diketahui 25 Jan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah


KUALA LUMPUR 7 Jan. – Rayuan seorang suri rumah untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta denda RM5,000 atas tiga tuduhan mencederakan bekas pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui pada 25 Januari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah daripada kedua-dua pihak berkaitan hari ini.
Hau Yuan Tyng, 45, selaku perayu mengemukakan rayuan pada 20 Mei tahun lalu sejurus selepas Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy Suppiah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda.
Pada tarikh tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Siti Hajar Sadli, 34, menggunakan air panas dan tukul besi yang boleh menyebabkan kematian.
Hukuman penjara tersebut diarahkan berjalan secara berasingan.
Komathy turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi tuduhan menyebabkan kecederaan mangsa dengan menggunakan gunting dan diperintahkan berjalan serentak dengan hukuman terdahulu.
Yuan Tyng didakwa melakukan kesalahan itu antara Februari dan 7 Jun 2009 di kediamannya No. 1-19-1, Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara, di sini.
Selain hukuman pemenjaraan, ibu kepada dua anak itu turut diperintahkan agar membayar pampasan berjumlah RM5,000 kepada bekas pembantu rumahnya.
Terdahulu ketika berhujah, peguam bela, M. Manoharan yang mewakili perayu menyatakan, menurut nota keterangan mahkamah, anak guamnya tidak pernah dibacakan dua pertuduhan pertama dan pengakuannya direkodkan.
Hanya pertuduhan ketiga iaitu menyebabkan kecederaan menggunakan gunting ada tercatat telah dibacakan dan direkodkan pengakuan tidak bersalah Yuan Tyng dalam nota keterangan.
Selain itu, Manoharan mendakwa anak guamnya berhadapan dengan prejudis sewaktu perbicaraan kerana pihak pendakwaan tidak pernah menunjukkan barang-barang kes yang berkaitan dengan pertuduhan sebaliknya memasukkan lain-lain objek seperti alu lesung, kerusi dan meja sebagai bukti.
Mangsa sendiri sewaktu perbicaraan menyatakan bahawa tukul besi yang dibawa pada perbicaraan kes itu bukanlah senjata yang digunakan untuk mencederakan dirinya, ujar peguam bela itu.
Manoharan turut menyatakan, tidak ada sesiapa pun daripada tiga pakar perubatan yang dipanggil sebagai saksi menyatakan bahawa kecederaan yang dialami oleh mangsa boleh menjurus kepada kematian sebagaimana dinyatakan dalam pertuduhan.
Pihak pendakwaan juga, menurut beliau, tidak pernah mengesahkan bahawa mangsa sememangnya Siti Hajar kerana pasport wanita itu tidak pernah dikemukakan ke mahkamah sebagai bukti identitinya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran ketika membalas hujah perayu menyatakan, sepanjang sesi soal balas mangsa, pihak pembelaan tidak pernah mempertikaikan identiti Siti Hajar.

No comments:

Post a Comment