Search This Blog

Monday, January 24, 2011

Polis tahan suspek berusia 59 tahun





KOTA BHARU 23 Jan. - Seorang lelaki berusia 59 tahun dari Kampung Gual Periuk, Rantau Panjang, ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang dibelasah beramai- ramai kerana dituduh mencuri getah beku di Kampung Banat Hilir, di sini, kelmarin.
Penahanan lelaki itu semalam, menjadikan jumlah mereka yang diberkas sehingga kini seramai tujuh orang.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, penahanan tersebut bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan dipercayai melibatkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan tempat kejadian.
"Sehingga hari ini seramai tujuh penduduk iaitu enam dari Kampung Gual Periuk dan seorang dari Kampung Bakat Hulu ditahan reman.
"Enam suspek berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan berasingan di rumah masing-masing dari tarikh kejadian dan direman sehingga 28 Januari ini.
"Penahanan terbaru (semalam) adalah melibatkan seorang lelaki juga Kampung Gual Periuk," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Sijil Anugerah Khidmat Cemerlang kepada 320 pegawai, anggota dan orang awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, seorang lelaki cedera parah selepas dikatakan dibelasah sekumpulan penduduk kampung di Bakat Hilir, Rantau Panjang apabila dituduh mencuri getah beku.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, Mohd. Saupi Mohamad, 38, berasal dari Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang ditemui orang awam dalam keadaan separuh sedar di sebuah kawasan tanah lapang.
Dia dipercayai terjatuh ketika cuba melarikan diri dari Kampung Gual Meso yang terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian apabila dikejar oleh penduduk berhampiran.
Mazlan menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan masih ada suspek di kalangan penduduk kampung yang terlibat dalam kes itu.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali mengambil tindakan sendiri dengan memukul penjenayah yang berjaya ditahan sehingga menyebabkan kematian.
"Orang ramai dan penduduk jangan membuat undang-undang di tangan sendiri dengan menjatuhkan hukuman kerana negara ini mempunyai peruntukan undang-undang.
"Suspek memang bersalah kerana mencuri, tetapi kesalahan memukul sehingga mati adalah lebih besar kerana membunuh," katanya.

No comments:

Post a Comment