Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

Polis, remaja dirempuh pemandu mabuk



PULAU PINANG 31 Dis. - Akibat memandu dalam keadaan dipercayai mabuk, seorang anggota polis dan seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila dirempuh oleh sebuah kereta semasa sekatan jalan raya tengah malam tadi.
Kejadian berlaku ketika sepasukan polis mengadakan sekatan berkenaan di Jalan Paya Terubong menghala Balik Pulau di sini, pukul 12.30 tengah malam.
Bagaimanapun tiba-tiba seorang lelaki berusia 33 tahun, dipercayai di bawah pengaruh alkohol yang memandu kereta Proton Persona merempuh sekatan tersebut lalu terbabas.
Kereta itu kemudian melanggar penunggang berusia 20 tahun menyebabkannya tercampak dan motosikal diheret sejauh kira-kira 150 meter.
Pemandu yang hilang kawalan itu seterusnya melanggar dua buah kenderaan pacuan empat roda milik polis di bahu jalan menyebabkan seorang anggota cedera parah akibat tersepit di antara dua buah kenderaan berkenaan.
Namun, remaja tersebut Basiruddin Jamari, 20, bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan dengan luka-luka di bahagian tangan dan lengan.
Lans Koperal Amirrul Fitri Norrizat, 25, dari Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, Perak mengalami kecederaan parah pada paha kanannya.
Pemandu kereta itu pula hanya mengalami cedera ringan walaupun kenderaan tersebut terbakar di bahagian enjin.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadam sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong yang tiba kira-kira lima minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pemandu tersebut memandu dengan laju menyebabkannya gagal memberhentikan keretanya pada sekatan jalan raya itu.
"Dia dipercayai tidak sempat membrek lalu terbabas dan melanggar motosikal serta kenderaan polis.
"Dia kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang selepas melawat anggota yang cedera itu di sini awal pagi ini.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan polis mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Semasa sekatan jalan raya tersebut, seramai enam anggota sedang bertugas, iaitu lima dari Batalion 1 PGA dan seorang dari Balai Polis Sungai Nibong.
-utusan

No comments:

Post a Comment