Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Polis rampas 19 botol dadah disyaki heroin, lelaki 55 tahun ditahan



KUALA TERENGGANU - Walaupun baru dibebaskan dan pernah menjalani hukuman penjara 34 tahun dan 16 kali sebatan atas kesalahan dadah, namun seorang lelaki, 55, dekat sini ditahan sekali lagi selepas disyaki memiliki heroin.

Suspek yang baru dibebaskan dari penjara Marang pada penghujung Jun tahun lalu, berasal dari Kampung Alor Peroi, Kuala Besut ditahan tiga hari lepas dan dia dikatakan sudah tiga kali dipenjarakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superitendan Roslan Abd Wahid berkata, lelaki itu ditahan pada jam 6 petang Khamis lalu semasa berada dalam keretanya yang diletakkan di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, dekat sini.

Beliau berkata, ketika ditahan polis menemui sembilan botol kecil dipercayai mengandungi heroin dalam poket seluar lelaki itu, dan 10 botol lagi ditemui tersembunyi dalam kenderaan.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM3,100 yang dipercayai hasil jualan dadah daripada lelaki itu yang dipercayai pengedar dan penagih dadah tegar.

"Keseluruhan rampasan dadah dengan berat kasar kira-kira 96.95 gram itu dianggarkan bernilai RM30,000," katanya pada satu persidangan media hari ini.

Roslan berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 20 Januari bagi membantu siasatan yang dibuat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

No comments:

Post a Comment