Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Polis Ipoh tahan lelaki mabuk ketika memandu


IPOH - Polis menahan seorang lelaki kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam "Operasi samseng dan mabuk" yang diadakan di jalan-jalan utama di bandar raya dekat sini awal hari ini.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Mohd Rodzi Rejab berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di Jalan Perajurit pada jam 2 pagi selepas dikesan berada di bawah pengaruh alkohol ketika polis membuat pemeriksaan ke atasnya.

Lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rodzi berkata, dalam operasi dari 12 tengah malam hingga 2.30 pagi, polis turut mengeluarkan saman ke atas sembilan pemandu atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada cermin sisi, melanggar lampu isyarat dan mengubah suai nombor pendaftaran.

Polis turut menyita sebuah motosikal yang ditinggalkan oleh penunggangnya yang dipercayai melarikan diri, katanya.

Operasi berkenaan dianggotai 19 polis cawangan trafik membabitkan Jalan Kuala Kangsar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Pasir Puteh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment