Search This Blog

Tuesday, January 4, 2011

Polis berkas lima penjenayah Myanmar


KUALA LUMPUR 3 Jan. - Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah warga Myanmar dengan penahanan lima rakyat negara itu pada Selasa lalu.
Mereka ditahan ketika salah seorang daripada mereka memecah masuk sebuah pejabat syarikat perkapalan di Jalan Kuchai Lama di sini.
Kesemua suspek ditahan dalam dua tangkapan berasingan di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid berkata, tangkapan pertama dilakukan pihaknya kira-kira pukul 4.50 pagi apabila sistem penggera pejabat itu berbunyi.
Difahamkan, pengurus syarikat perkapalan terbabit yang pada ketika itu berada di rumah turut dimaklumkan selepas alat penggera tersebut berbunyi.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, pihaknya berjaya menahan seorang suspek berusia 32 tahun yang sedang menyelongkar pejabat terbabit.
"Siasatan awal mendapati suspek masuk melalui tingkap kerana terdapat kesan umpil pada cermin pejabat itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Wan Abdul Bari, susulan penahanan suspek, kurang 24 jam pihaknya berjaya menahan empat lelaki warga Myanmar yang dipercayai ahli kumpulan sindiket di sebuah rumah di Kuchai Lama pada pukul 2.30 petang.
Katanya, kesemua suspek berusia 25 hingga 32 tahun itu tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Menurut beliau, pelbagai barangan dipercayai hasil samun ditemui di rumah berkenaan antaranya, komputer riba, projektor, pemain cekera padat dan beberapa barang elektrik yang dianggarkan bernilai RM15,000.
"Dengan penahanan kelima-lima suspek, kami percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah yang aktif sejak beberapa bulan lalu di sekitar ibu negara dan Selangor.
"Kesemua mereka kini ditahan reman sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment