Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Pesawah rugi padi ditenggelami banjir

SH


KOTA BHARU-Beberapa pesawah terpaksa menanggung kerugian sehingga RM50,000 apabila kira-kira 20 hektar sawah padi mereka ditenggelami banjir di Kampung Chepa dekat sini.

Hujan lebat sejak empat hari lalu menyebabkan lapan peserta tanaman sawah padi pada luar musim mengeluh kerana padi yang dijangkakan dapat dituai pada awal Februari ini rosak.

Seorang pesawah, Ramli Yaakob berkata, kali ini dia mengalami kerugian mencecah RM7, apabila hasil tanamannya rosak teruk.

“Sebelum ini padi kami rosak angkara diserang oleh tikus dan belum selesai dengan itu, kali ini ditenggelami banjir pula.

“Kami terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menanamnya tetapi apakan daya sekarang ini musim hujan, untung yang dicari untuk sara keluarga tetapi ini pula yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian semalam ketika ditemui di Kampung Chepa.

Bagi Abdullah Ibrahim, 59, pula, dia menjangkakan pada tahun ini hasilnya lebih lumayan dari kebiasaannya tetapi sangkaan itu meleset kerana semua padinya rosak tidak dapat diselamatkan.

“Bila melihat padi menguning, kami jangka tahun ini lebih baik dari sebelumnya tetapi, sekarang ini, bukan sahaja untung kami tidak dapat, malah upah untuk bayaran membajak juga tidak diperoleh,” katanya.

Menerima nasib yang sama ialah, Abdul Majid Yusof, 80, dan dia mengharapkan ada pihak tertentu dapat membantu pesawah-pesawah dalam kesusahan terbabit.

“Kami sangat mengharapkan supaya ada pihak yang sudi menjenguk kami dan lebih elok jika ada pihak lain dapat mengambil alih pengurusan pesawah di sini,” katanya.

Lebih menghampakan bagi pesawah muda pula, Tun Mohd Amin Azmi, 20, pengalaman pertama menanam padi sangat memeritkan kerana sudah menanggung kerugian kerana 1.2 hektar tanaman padinya musnah dalam bencana banjir kali ini

No comments:

Post a Comment