Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Penduduk cemas , tanah menggelongsor





Keadaan tanah yang menggelongsor di Selesa Hill Resort, Bukit Tinggi semalam.


BENTONG 15 Jan. - Para penghuni sebuah pangsapuri lima tingkat di pusat peranginan Selesa Hill Resort, Bukit Tinggi di sini cemas apabila tanah berhampiran tempat tinggal mereka menggelongsor.
Kejadian itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 10 meter lebar dan berlaku hanya tiga meter dari Blok H, iaitu salah sebuah daripada 16 blok pangsapuri di pusat peranginan berkenaan.
Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 9 pagi itu, penghuni bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan atau kerosakan harta benda. Ini kerana tiada gegaran berlaku selepas gelongsoran tersebut.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Rahim Abdullah berkata, beliau bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 9.16 pagi.
"Pihak kami kemudian segera mengarahkan 10 penduduk dan enam tetamu yang menginap di situ meninggalkan bangunan terbabit bagi tujuan keselamatan.
"Siasatan awal mendapati, gelongsoran tanah itu bukan berpunca daripada gegaran gempa bumi tetapi kebocoran paip bawah tanah di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Rahim berkata, air bawah tanah yang mengalir terlalu banyak menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan longgar sehingga berlaku gelongsoran.
Beliau berkata, batang paip yang mengalirkan air di kawasan resort terbabit dipercayai bocor kerana sudah terlalu lama dipercayai berusia 20 tahun.
Rahim berkata, pihaknya terpaksa menebang dua pokok, mengalirkan air yang berlebihan ke longkang berhampiran dan menutup tanah yang menggelongsor itu dengan kanvas untuk mengelak kawasan terbabit terjejas lebih teruk.
"Kerja-kerja membaik pulih paip bocor dan kawasan gelongsor akan dilakukan oleh pihak pemaju," katanya sambil memberitahu usaha menyelamat turut dibantu oleh lima anggota Bomba dan Penyelamat Sukarela Janda Baik dan lapan anggota polis dari Balai Polis Bukit Tinggi.
Sementara itu, Pengarah Urusan United Highlands Sdn. Bhd, iaitu pemaju pusat peranginan berkenaan, Dr. Aljafri Abdul Majid berkata, pihaknya akan memastikan kerja-kerja membaik pulih kawasan gelongsoran itu dilakukan dengan segera.
Beliau berkata, sejak bangunan pangsapuri itu dibina pada 1990, ini kejadian pertama gelongsoran tanah berlaku di kawasan tersebut walaupun tempat kejadian memang terletak di zon Garis Sesar Bukit Tinggi yang mendedahkan ia kepada gegaran jika berlaku gempa bumi.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada penduduk bahawa bangunan pangsapuri itu masih selamat diduduki memandangkan pemasangan cerucuk bangunan dilakukan dengan kukuh.

No comments:

Post a Comment