Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

Pasar raya terbakar




SUNGAI PETANI - Stor barangan di Pasaraya Econsave di Taman Petani Jaya di sini terbakar kira-kira jam 4.50 petang semalam semasa ia sedang beroperasi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Mohd Rejab Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.56 petang dan sampai di lokasi pada jam 4.59 petang.

Menurutnya, semasa sampai di tempat kejadian, api marak berpunca dari stor terbabit yang berada di tingkat atas bangunan dua tingkat pasar raya berkenaan.

Katanya, anggotanya terpaksa memecahkan dinding stor untuk memudahkan operasi memadam kebakaran.

“Bagaimanapun kami dapat mengawal api daripada merebak ke bahagian lain pasar raya itu dalam masa setengah jam selepas tiba di lokasi, namun kami mengambil sedikit masa untuk memadam kebakaran terbabit.

“Operasi memadam kebakaran ini membabitkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan 17 jentera dari bomba sukarela antaranya dari Bedong, Merbok, Semeling, Gurun, Pendang, Padang Lembu, Guar Chempedak dan Jeniang,” katanya.

Mohd Rejab berkata, bagaimanapun api tidak merebak hingga tingkat satu dan tingkat dua bangunan itu, namun pihaknya akan memeriksa keseluruhan bangunan itu selepas dapat memadam kebakaran.

Dalam pada itu Sinar Harian difahamkan jumlah kerugian kira-kira RM460,000 dan bomba masih menyiasat punca kebakaran terbabit.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati beratus penduduk sekitar dan orang ramai menyaksikan usaha anggota bomba memadamkan kebakaran itu.

Sehingga jam 7 petang semalam, anggota bomba masih berusaha memadamkan kebakaran di bahagian stor berkenaan dan asap tebal menyelubungi kawasan sekitar Taman Petani Jaya.

Dalam perkembangan sama, pekerja pasar raya berkenaan yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian terdapat 100 pekerja di tingkat satu dan dua bangunan itu.

Menurutnya, kira-kira 200 pelanggan sedang membeli barangan di pasar raya itu, namun semuanya berjaya keluar dari bangunan ketika kebakaran.

“Ini adalah kali pertama kebakaran berlaku di pasar raya ini dan saya bersyukur kerana semuanya selamat. Stor berkenaan menempatkan barangan seperti lampin pakai buang, minuman, tisu dan lain-lain,” katanya.

Asap kecil yang terlihat di bahagian stor bangunan dua tingkat Pasaraya Econsave tidak disangka adalah punca kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bahagian stor berkenaan hingga mengejutkan ramai penduduk sekitar.

Seorang pekerja pusat jahitan yang dikenali sebagai Lee, 65, berkata, dia sedang berehat di tempat kerjanya iaitu bangunan berhadapan dengan pasar raya berkenaan sambil meninjau melalui tingkap tingkat atas bangunan itu melihat pekerja pasar raya mengangkut barang.

Menurutnya, sebanyak tiga lori memuatkan barangan dapur dilihatnya baru tiba dan pekerja pasar raya berkenaan sibuk mengangkut barang-barang terbabit keluar dari lori.

“Kemudian saya terpandang bahagian atas bangunan dan melihat asap kecil keluar dari bahagian stor berkenaan. Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan terus melihat pekerja itu mengangkat barang.

“Beberapa minit kemudian saya lihat asap kecil itu kemudiannya menjadi semakin tebal dan berkepul-kepul keluar dari stor,” katanya.

Lee berkata, dia memanggil rakan sekerja untuk melihat asap berkenaan dan mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku kerana asap semakin tebal memenuhi ruangan udara bangunan itu.

Menurutnya, dia kemudiannya menjerit memanggil pekerja pasar raya yang sedang mengangkut barang itu dan memaklumkan kepada mereka.

“Selepas itu saya lihat ramai pelanggan dan pekerja pasar raya berkenaan bertempiaran lari meninggalkan pasar raya itu dan bomba tiba lima minit selepas itu.

“Tidak sampai beberapa minit, api marak berserta asap tebal kelihatan di bahagian stor itu dan turut menyelubungi kawasan sekitar Taman Petani Jaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment