Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Nyaris terbunuh

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita nyaris terbunuh apabila disambar api selepas dapur gasnya disyaki mengalami kebocoran di Kampung Tebauk, dekat sini, pagi semalam.
Kejadian terbabit turut menyebabkan rumah sewanya musnah terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Walidah Abdul Ghani, 52, menyediakan nasi dagang untuk kira-kira 50 siswa dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi yang menyertai program Jom Masuk U di Pusat Dagangan Terengganu.

Menurut Walidah, keluarganya terpaksa berpindah ke rumah baru kira-kira 40 meter dari tempat kejadian.

“Sebenarnya rumah diduduki itu masih dalam pembinaan, namun kami sekeluarga tiada tempat berteduh lain,” katanya.

Katanya, walaupun kerugian, dia bersyukur kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana suaminya yang kini dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas kaki dipotong akibat kencing manis tiada di rumah.

Anak mangsa, Nor Hasidah Harun, 30, berkata ibunya sempat menjerit dan mengarahkan dia membawa semua empat adik-beradiknya keluar dari rumah sambil berlari dari dapur.

“Selepas semua orang keluar saya cuba mengambil beg tangan dalam bilik tetapi dihalang ibu kerana api marak.

“Api marak dengan cepat dan rumah kami hangus tidak sampai 10 minit, menyebabkan kami tidak dapat selamatkan apa-apa barang berharga,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II yang juga komander Operasi, Ridzuan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.55 dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

“Ketika sampai, 90 peratus rumah terbakar dan kita hanya sempat menyelamatkan sebuah lagi rumah yang terletak berhampiran,” katanya

No comments:

Post a Comment