Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Nota anak bantu ibu dapat hak penjagaan

Utusan Malaysia Online - Mahkamah


PULAU PINANG 4 Jan. - "Tolong, tolong... saya mahu tinggal dengan emak saya."
Itulah nota yang ditulis seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika ditemu bual hampir sejam oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Yaakob Md. Sam pada 27 Disember lalu.
Nota yang ditinggalkan Tan Yi Min atau nama Islamnya, Eilliyah Foong Abdullah bersama gambar lakaran wajah ibu dan bapanya itu ternyata berjaya membantu mahkamah merungkaikan isu hak penjagaan sementara kanak-kanak itu yang dikemukakan di mahkamah tersebut.
Hari ini, Yi Min boleh tersenyum riang kerana keinginan dan hasratnya untuk tinggal bersama ibunya, Fatimah Foong Abdullah, 28, di Selangor tertunai.
Ini berikutan keputusan mahkamah tersebut menolak permohonan bapa kanak-kanak itu, Tan Cheow Hong, 36, untuk mendapatkan hak penjagaan sementara terhadapnya.
Namun keputusan gembira itu tidak dapat didengar sendiri oleh Yi Min dan Fatimah kerana mereka tidak hadir di mahkamah hari ini sebaliknya hanya diwakili peguamnya, Mohd. Zulkhairi Ab. Aziz.
Manakala Cheow Hong, pembantu pengurus pemasaran yang memakai baju kemeja ungu dan berseluar hitam tenang duduk di belakang peguamnya, Gooi Hsiao Leung ketika mendengar keputusan itu yang dibacakan hampir satu jam lebih oleh Hakim Yaakob.
Bagaimanapun, Hakim Yaakob turut mengeluarkan perintah memberi kebenaran kepada Cheow Hong menemui anaknya itu dua minggu sekali iaitu mulai pukul 11 pagi hari Sabtu hingga pukul 6 petang hari Ahad.
Cheow Hong juga dibenarkan membawa anaknya itu pulang ke rumah sempena cuti Tahun Baru Cina selama tiga hari bermula hari ketiga hingga kelima selain selama tiga hari lagi pada cuti semester pertama dan kedua persekolahan.
Yi Min juga diberi peluang bersama bapanya itu selama dua minggu bagi cuti persekolahan semester ketiga bermula minggu kedua hingga keempat.
Pada 8 November tahun lalu, Yi Min telah diambil dari sekolahnya, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwong Wah, Jalan Raja Uda, Butterworth dekat sini setelah Fatimah berjaya memperoleh kebenaran Mahkamah Syariah Hulu Langat, Selangor untuk menuntut Yi Min daripada bapanya.
Sebelum ini, kanak-kanak itu berada di bawah jagaan bapanya itu selama tiga tahun sejak pasangan berkenaan berpisah pada Oktober 2007.
Dalam keputusannya, Hakim Yaakob berkata, mahkamah tidak dapat menolak keinginan kanak-kanak itu yang mahu tinggal bersama ibunya yang dizahirkan secara jelas melalui tulisan dan perkataan yang dinyatakannya semasa temu bual itu.
Katanya, tidak wujud juga sebarang keraguan melalui percakapan dan tindakan Yi Min yang menunjukkan dia telah diajar oleh ibunya untuk berbuat demikian.
"Saya menemubualnya hampir sejam bermula pukul 3 petang, 27 Disember lalu. Saya dapati dia kanak-kanak yang cerdik dan pintar.
"Dia memberitahu saya dia suka tinggal dengan ibunya kerana ibunya menjaganya dengan baik, membelikan buku, membawanya bercuti serta memasak untuknya sedangkan ketika bersama ayahnya, dia ditinggalkan di rumah ibu saudaranya semasa sesi persekolahan dan hujung minggu pula bersama datuk dan neneknya yang berniaga kedai kopi.
"Kata Yi Min, dia sayang ayahnya, namun sayangnya lebih mendalam untuk ibunya. Daripada apa yang diperkatakan olehnya amat jelas dia memberitahu berdasarkan pengalaman yang dilaluinya dan ia bukan direka-reka atau diajar oleh ibunya.
"Sekiranya dia disuruh berkata, tidak semestinya dia boleh ingat semua ayat terutama pada usia tujuh tahun," kata Hakim Yaakob.
Justeru, keputusan memberi hak jagaan sementara kepada Fatimah yang merupakan pembekal gas adalah untuk kebajikan kanak-kanak tersebut serta kesan jangka panjang terhadapnya.

No comments:

Post a Comment