Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Nenek rancang pembunuhan tiga beranak

Utusan Malaysia Online - Jenayah


CHENNAI 4 Jan. - Seorang nenek berumur 67 tahun dipercayai bertanggungjawab merancang pembunuhan kejam seorang wanita warga Malaysia dan dua anak kecilnya di Madurai pada November lepas, menurut polis.
Nenek itu yang kini berada dalam tahanan polis di Madurai, merupakan nenek kepada suspek utama kes bunuh tiga beranak itu yang dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia dengan empat suspek lain.
"Kami mendapati nenek itu merupakan perancang pembunuhan itu, dia yang sebenarnya menyuruh mereka (semua suspek) membalas dendam terhadap si mati.
Semua tujuh tertuduh dalam tahanan kami sekarang juga mendedahkan yang nenek itu terbabit dalam jenayah itu.
"Mayat tiga beranak itu awalnya ditanam di ladang kelapa wanita (nenek) itu tetapi kemudiannya dipindahkan ke tempat lain," kata pegawai polis di Vadipatti, Inspektor P.R Lakshmanan kepada Bernama hari ini.
Warga Malaysia Adhila, 24, dua anaknya Ajira Banu, 5, dan Mohd. Aslan, 7, didapati hilang dari rumah mereka di daerah Ramananthapura pada 8 November lalu.
Tiga hari kemudian polis menemui mayat tiga beranak itu dalam keadaan sudah reput di sebuah saliran di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu, kira-kira 150 kilometer daripada tempat mereka diculik.
Siasatan mendapati pembunuhan itu ada kaitan dengan permusuhan lama antara geng tempatan dan tiga beranak itu dibunuh bagi membalas dendam terhadap suami Adhila, yang dikatakan bekerja di Malaysia.
Kesemua suspek ialah warganegara India yang berasal dari Tamil Nadu.
Kes itu yang mendapat liputan meluas media di selatan India, dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan Jenayah Tamil Nadu (CB-CID) minggu lepas, atas arahan Mahkamah Tinggi Madras.
"Kanak-kanak yang tidak bersalah telah dibunuh akibat permusuhan antara dua keluarga.
"Oleh yang demikian, mahkamah ini yakin CB-CID adalah agensi yang kompeten untuk meneruskan dan menyiapkan siasatan dengan bantuan polis Malaysia untuk membawa pulang pesalah ini ke India," kata Hakim V. Periyakaruppan yang memerintahkan pemindahan kes itu, menurut laporan Outlook India.com. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment