Search This Blog

Tuesday, January 4, 2011

Nelayan temui mayat terbakar di tempat buang sampah


TELOK KEMANG 3 Jan. - Seorang nelayan terkejut apabila mendapati objek yang sedang terbakar berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Kuala Lukut dekat sini merupakan mayat seorang wanita dipercayai menjadi mangsa bunuh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, nelayan berkenaan melalui tempat pembuangan sampah itu untuk ke Jeti Kuala Lukut apabila melihat satu objek sedang terbakar.
Berikutan itu, nelayan berkenaan memanggil ketua kampung tersebut, Soo Ah Wa untuk memastikan objek yang ditemui itu benar-benar mayat manusia.
''Memang saya tidak sangka objek berkenaan adalah mayat seorang wanita kerana saya sangkakan ia hanya sampah yang dibakar oleh orang ramai.
''Sebaik sahaja menyaksikan mayat rentung di tempat kejadian itu, saya menelefon pihak polis bagi memaklumkan perkara tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima laporan dari orang ramai pada pukul 4.47 petang.
Jelas beliau, mayat yang 70 peratus rentung itu dipercayai telah dibunuh dan dicampak di kawasan pembuangan sampah serta dibakar oleh suspek.
''Setakat ini pihak polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mengenai mangsa yang terbakar itu. Siasatan awal juga mendapati tiada senjata ditemui di sekitar kawasan itu, namun kita menemui subang yang dipercayai milik mangsa," katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk dikenal pasti identitinya melalui ujian forensik serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Jelas beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment