Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Nelayan sesat cerita pengalaman

SH


KEMASIN – Seorang nelayan yang tersesat di laut akibat kabus tebal Selasa lalu bersyukur kerana sempat diselamatkan rakan dan ahli penyelamat yang lain selepas lebih 24 jam dihanyutkan arus.

Nelayan tersebut, Sahimi Abdullah, 43, berkata, dia keluar ke laut untuk menangkap ikan menggunakan bot tradisional yang tidak mempunyai sebarang alat perhubungan atau penunjuk arah.

Menurutnya, dia bersama dua lagi rakannya keluar menggunakan bot masing-masing ke arah timur Kuala Kemasin pada malam Isnin dan dijangka pulang tengah hari keesokan harinya.

“Kami keluar bertiga dengan bot masing-masing, kemudian pada jam 2 pagi saya mula bergerak pulang meninggalkan dua kawan lain kerana bot saya bermasalah.

“Dalam keadaan berkabus, saya tidak nampak haluan pulang dan apabila kabus hilang barulah saya sedar bahawa saya berada kira-kira 15 batu nautika dari Kuala Kemasin dan di luar laluan bot lain,” katanya semalam.

Beliau berkata, dia cuba menghidupkan enjin botnya namun gagal kerana kehabisan minyak.

Menurutnya, dia dihanyutkan arus sehingga dijumpai pasukan penyelamat kira-kira 2.30 pagi, hari Rabu.

“Saya amat bersyukur kerana dijumpai semula, jika tidak, saya tidak tahu apa yang akan berlaku terutama dalam musim tengkujuh ini,” katanya ketika ditemui.

Sahimi berkata, ini adalah kali ketiga dia keluar menggunakan bot kecil tanpa sebarang alat perhubungan atau penunjuk arah, namun tidak pernah mengalami perkara sebegini.

Menurutnya, dia keluar ke laut menangkap ikan kerana hasil tangkapan lebih memuaskan pada musim tengkujuh untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Beliau berterima kasih kepada semua rakan dan anggota penyelamat yang keluar semula mencarinya pada malam Rabu sehingga dijumpai.

Sepanjang perkahwinan Sahimi bersama isterinya, Nor Naimah Abdul Kadir, 43, mereka dikurniakan sepasang anak kembar berusia 8 tahun.

Sahimi adalah antara kelompok nelayan miskin di daerah ini yang memerlukan perhatian pihak berkenaan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

No comments:

Post a Comment