Search This Blog

Tuesday, January 11, 2011

Nelayan hilang, bot ditemui terapung

SH

KEPALA BATAS - Seorang nelayan dikhuatiri lemas apabila bot yang digunakannya untuk menangkap udang, ditemui terapung dalam keadaan enjin masih hidup di Bayrote berdekatan perairan Kuala Muda di sini, semalam.

Abdu Samad Zakaria, 53, dari Kampung Pulau Mertajam, Penaga, hilang dipercayai terjatuh dalam laut ketika sedang memukat udang berseorangan di kawasan itu yang berjarak lebih kurang 3.2 kilometer dari pantai Kuala Muda.

Isterinya, Noriah Hashim, 58, yang ditemui di rumahnya berkata, kejadian itu disedari sekumpulan nelayan yang dalam perjalanan pulang selepas memukat udang di kawasan berhampiran jam 10.30 pagi semalam.

“Mereka terkejut apabila mendapati bot suami terapung dalam keadaan enjin masih hidup manakala dia gagal ditemui.

“Mereka kemudian menunda botnya ke pangkalan sebelum memaklumkan kepada saya. Selepas itu, saya pergi buat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, sekumpulan nelayan kampung itu kemudian melancarkan gerakan mencari sebelum disertai pihak bomba, Unit Marin Polis yang berpangkalan di Batu Uban, serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejurus selepas itu namun, sampai kini suaminya masih gagal ditemui.

“Kali terakhir berjumpanya ialah lewat malam semalam selepas saya pulang daripada melawat keluarga di Bayan Lepas.

“Tiada perubahan ketara padanya meskipun saya memintanya tidak keluar ke laut berseorangan kerana faktor umurnya yang semakin meningkat,” katanya.

Mariah ialah isteri kedua Abdu Samad dan mereka yang sudah 13 tahun berkahwin tidak mempunyai anak. Abdul Samad sudah bekerja sebagai nelayan lebih 30 tahun.

“Saya berharap dia ditemui dalam keadaan selamat. Apa pun saya reda dengan ketentuan tuhan jika ditakdirkan dia sudah tidak ada,” katanya.

Sementara itu, Komandan Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Penguasa Kanan Bomba Dua Wan Azni Ahmad, semasa ditemui di pantai Kuala Muda mengetuai gerakan mencari dan menyelamat disertai 20 anggota bomba berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada jam 12.29 tengah hari semalam.

Katanya, pihaknya menggunakan beberapa bot selain menggunakan anggota dari Unit Skuba namun, disebabkan arus air yang kuat, pencarian hanya dapat dilakukan di permukaan laut sekitar kawasan itu sahaja.

No comments:

Post a Comment