Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Naluri ibu rungkai kehilangan anak

SH


KUANTAN - Naluri dan kasih sayang seorang ibu merungkai misteri penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang terdampar di Pantai Cherok Paloh, dekat sini, petang kelmarin.

Hasil pengecaman Hafizah Rashid, 31, kira-kira jam 3.30 petang semalam mengesahkan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan itu anak ketiganya, Durani Arfah Masrul, 3, yang hilang sejak seminggu lalu ketika bermain air di depan rumahnya di Kampung Kubang Putat, Dungun, Terengganu.

Identiti mayat anaknya yang ditemui seorang pemukat ikan kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin itu dicam berdasarkan keadaan gigi, rambut, tanda di dada dan tumit memandangkan wajah dan badan mangsa sudah berubah.

Bapa mangsa, Masrul Deris, 32, ketika ditemui berkata, dia reda dengan ketentuan Allah, bagaimanapun terkilan kerana gagal mengecam anaknya ketika melakukan pengecaman bersama beberapa saudaranya pagi semalam.

“Saya tidak menduga mayat ditemui itu anak saya kerana wajah dan badannya sudah berubah mungkin kerana terlalu lama berendam dalam air.

“Saya juga tidak menyangka, anak saya yang hilang ketika bermain air bersama kawannya di depan rumah Jumaat lalu dihanyutkan terlalu jauh sehingga ke Ceruk Paloh, Kuantan yang jaraknya menjangkau lebih 100 kilometer,” katanya.

Masrul bersyukur misteri kehilangan anaknya itu akhirnya terjawab walaupun terpaksa menerima hakikat anak kesayangannya sudah tiada.

“Sebelum isteri saya datang naluri saya kuat mengatakan Durani Arfah masih hidup dan berdoa agar dia selamat.

“Usaha mencarinya masih dijalankan penduduk kampung dan saudara mara sehingga pagi tadi (semalam) walaupun gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan pihak berkuasa sejak empat hari lalu dihentikan,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya itu akan dituntut dan dibawa balik ke kampungnya untuk dikebumikan selepas segala urusan selesai.

Hafizah yang gagal mengawal perasaan selepas mengecam mayat anaknya kelihatan lemah sehingga memaksa suami dan saudara menenangkannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Zulkifli Taha mengesahkan menerima laporan penemuan mayat kanak-kanak itu.

Menurutnya, mayat kanak-kanak perempuan yang hanya berseluar hitam tanpa baju itu ditemui seorang penduduk Kampung Ceruk Paloh dikenali sebagai Mohd Bustaman ketika dia keluar memasang pukat di pantai itu kira-kira jam 2.30 petang kelmarin

No comments:

Post a Comment