Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Minyak masak dirampas

SH

MACHANG - Belian panik di kalangan pengguna gara-gara krisis minyak masak baru-baru ini mendorong sebuah syarikat tempatan pembungkusan minyak masak di Kampung Membunga di sini beroperasi semula secara tidak sah.

Namun pemiliknya terpaksa berputih mata apabila premis simpanan dan operasinya diserbu sepasukan pegawai dan anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Kuala Krai, di sini semalam.

Ketua cawangannya, Halijah Sandiman berkata, berdasarkan maklumat diterima, premis tersebut menghentikan operasinya sejak 2008 namun dipercayai beroperasi semula berikutan krisis minyak dan permintaan yang tinggi.

Katanya, operasi pada jam 9 pagi itu dilakukan apabila mendapat arahan daripada PPDNKK Putrajaya mengena kewujudan premis yang didakwa beroperasi secara haram.

Halijah berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat lima pekerja termasuk seorang penyelia sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan di dalam premis tersebut yang terletak berhampiran lampu isyarat Machang lama.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, wujud operasi di premis itu iaitu melakukan kerja-kerja pembungkusan minyak masak diadakan. Minyak masak tersebut diedarkan ke kedai-kedai runcit seluruh Machang tetapi tidak mempunyai lesen pemborong pembungkusan kerana minyak adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,’’ katanya.

Ekoran itu, pihaknya merampas kesemua minyak masak sebanyak 16.3 tan metrik termasuk 425 kilogram yang telah dibungkus.

“Sebanyak 25 kotak yang setiap satu mempunyai 17 kampit minyak (sekampit satu kilogram) telah siap dibungkus untuk diedarkan telah disita termasuk 15,875 yang masih terdapat di dalam tangki.

Nilai rampasan dalam operasi ini dianggarkan sebanyak RM40,850 manakala penyelia dan pekerja diambil keterangan untuk tindakan lanjut.

Katanya, premis tersebut telah beroperasi sejak 2008 dan pelanggannya terdiri di kalangan pekedai runcit dan pasar raya mini di seluruh Machang.

“Syarikat ini mahu menghidupkan semula operasi pembungkusan di sini berdasarkan terdapat beberapa peralatan yang baru dicat semula termasuk tangki dan juga tempat letak minyak,” katanya. Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Sabit kesalahan pemilik syarikat terbabit boleh didenda maksimum sebanyak RM250,000 bagi kali pertama manakala kesalahan kali kedua sebanyak RM500,000.

No comments:

Post a Comment