Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

Mayat mangsa lemas ditemui terdampar



KUANTAN - Seorang pengunjung Pantai Peranginan Teluk Cempedak di sini yang lemas ketika mandi-manda petang kelmarin di temui mati lemas dan terdampar di tepi pantai itu, awal pagi semalam.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Hoh Kun Fatt, 22 dari Kampung Baru Ampang, Selangor ditemui orang ramai kira-kira jam 5 pagi sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Menurutnya, mangsa yang datang ke sini mengikuti satu rombongan sebuah persatuan dilaporkan lemas kira-kira jam 6 petang Khamis lalu ketika sedang mandi manda di satu kawasan berbatu bersama enam rakan yang lain.

“Mangsa yang dipercayai bermain di atas sebuah batu besar di situ tergelincir lalu terjatuh ke dalam air dan lemas.

“Kejadian yang menimpa mangsa ketika itu disedari dua rakannya dan mereka cuba membantu bagaimanapun usaha menyelamatkan lelaki itu gagal apabila dia tenggelam dipercayai dibawa arus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, dua rakan mangsa juga nyaris lemas bagaimanapun mereka berjaya diselamatkan rakan-rakan lain sebelum dihantar ke HTAA menerima rawatan akibat tertelan air laut.

“Berikut laporan berhubung kejadian, usaha mencari dan menyelamat segera digerakkan membabitkan beberapa agensi termasuk Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa gagal dan dihentikan lewat petang kelmarin bagaimanapun operasi yang sepatutnya diteruskan pagi ini (semalam) ditamatkan setelah mayat mangsa ditemui,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika mandi atau melakukan sebarang aktiviti sukan air memandangkan keadaan ombak agak besar kebelakangan ini.

“Sebaik-baiknya jangan mandi sekiranya keadaan ombak agak besar dan patuhi amaran dan arahan papan tanda yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment