Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Masalah banjir kilat belum diatasi

SH


TUMPAT – Penduduk Taman Sri Pekan, Wakaf Bharu di sini melahirkan rasa kecewa kerana pihak berkenaan masih tidak dapat menyelesaikan masalah banjir kilat di perumahan tersebut.

Wakil penduduk, Zuraiman Zahari, 40, berkata, penduduk sudah jemu meluahkan ketidakpuasan hati terhadap masalah banjir yang berlaku tiap kali hujan lebat.

Menurutnya, rumah teres yang didiami terdedah dengan banjir kerana beberapa faktor seperti longkang kecil serta tidak dapat menampung aliran air ke anak sungai.

“Pembinaan longkang perlu diteliti supaya masalah banjir kilat tidak berlaku, pihak berkenaan sepatutnya membuat kajian sebelum membinanya.

“Pembahagi jalan yang dibina di jalan utama kawasan itu memburukkan lagi keadaan apabila air tidak dapat mengalir ke longkang bersebelahan,” katanya.

Zuraiman berkata, banjir kilat juga menyebabkan kesesakan jalan kerana kenderaan yang melalui jalan utama ke Wakaf Bharu memperlahankan kenderaan masing-masing.

Katanya, keadaan itu terus menimbulkan kesulitan kepada penduduk sehingga ianya diatasi.

“Sehingga ke hari ini, belum ada tindakan daripada pihak tertentu, takkan nak tunggu pilihan raya umum baru masalah kami diberi perhatian.

“Kami berharap pihak berkenaan dapat segera berbincang dengan jawatankuasa taman ini dengan mengambil kira pandangan kami bagi menyelesaikan masalah yang dialami penduduk,” katanya

No comments:

Post a Comment