Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

Mangsa simbah asid belum boleh dibedah



Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2011/01/01

pix_gal0
Ibu Nurul Dahyatul diminta patuhi arahan pakai topeng 

KUALA TERENGGANU: Kanak-kanak mangsa simbahan asid bapa sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8,(gambar) masih dalam program rawatan di Unit Pembedahan Plastik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mengecut dan mengurangkan kesan parut yang serius di wajahnya, sekali gus belum boleh menjalani pembedahan plastik kerana parutnya belum matang.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Mohamad Omar, berkata penilaian doktor pada sesi rawatan susulan kanak-kanak berkenaan kelmarin mendapati, kesan parut di wajahnya semakin mengembang, sedangkan ia sepatutnya mengecut dan susut dengan penggunaan topeng khas yang dibekalkan pihak hospital.
Beliau berkata, pihak hospital sudah memberikan rawatan terbaik kepada kanak-kanak berkenaan dan anggota keluarganya yang lain yang turut terkena simbahan asid iaitu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, adiknya Muhammad Irfan Firdaus, 2, dan nenek, Minah Omar, 56. 

Katanya, mengikut jadual kanak-kanak terbabit dijangka menjalani pembedahan membuang parut pada 10 Januari ini, bagaimanapun prosedur itu mungkin tidak dapat dijalankan kerana kesan parut yang semakin mengembang. Dia juga menjalani rawatan psikiatrik di HSNZ untuk memulihkan semangatnya akibat tragedi hitam itu. 

"Kita nasihatkan ibu kanak-kanak terbabit bersabar dan mengikut arahan pihak hospital supaya usaha memulihkan wajah anaknya berjalan lancar. Nurul Dahyatul Fazlinda sepatutnya memakai topeng khas itu minimum 23 jam sehari untuk mengecutkan parut, tetapi hasil pemeriksaan kita mendapati parut itu semakin mengembang kerana topeng itu tidak digunakan mengikut arahan doktor. 

"Kecederaan dialami kanak-kanak terbabit sangat serius kerana seluruh muka terkena simbahan asid dan rawatannya akan mengambil masa panjang, tambahan pula kulit muka sangat sensitif dan nipis serta memerlukan rawatan yang lebih teliti. Apabila parut tidak matang, kita tidak boleh menjalankan pembedahan plastik kerana parut itu akan terus hidup. 
"Jika kanak-kanak terbabit menjalani rawatan mengikut arahan doktor, ada kemungkinan dia tidak perlu menjalani pembedahan plastik. Oleh itu, kita nasihatkan ibu kanak-kanak terbabit bersabar dan patuhi semua pelan rawatan ditetapkan pihak hospital. Kita yakin kanak-kanak itu boleh disembuhkan jika mengikut arahan rawatan diberikan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai keluhan Che Ku Zaimah mengenai keengganan Nurul Dahyatul Fazlinda ke sekolah berikutan kecewa apabila harapannya untuk memperoleh tarikh bagi menjalani pembedahan plastik pada sesi rawatan susulan kelmarin, tidak kesampaian. 

Che Ku Zaimah berkata, dia terkilan kerana doktor yang merawat anaknya itu memaklumkan tidak mengetahui mengenai pembedahan plastik dimaksudkan, malah memaklumkan HSNZ tidak mempunyai kepakaran menjalankan pembedahan berkenaan. 
Tiga beranak itu menjadi mangsa simbahan asid pada Ogos lalu selepas suri rumah itu mahu bercerai.

No comments:

Post a Comment