Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

Mangsa seorang periang, peramah

 

KUALA BERANG -“Makcik tidak sangka dia akan pergi dengan cara begini, malah sukar untuk membayangkan keadaannya ketika lemas tadi. Makcik baru berjumpanya kira-kira seminggu lalu dalam keadaan sihat,” luah Maimun Talib, 63, penuh kesayuan.

Maimun adalah nenek kepada seorang juru x-ray di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Mohd Alif Mahade, 23, dari Pulau Kerengga, yang ditemui lemas dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam di Air Terjun Belukar Bukit sewaktu sedang manda-manda bersama 10 rakan sekerjanya yang lain.

Menurut Maimun, walaupun berat menerima berita pemergiannya cucu keduanya itu, namun dia sekeluarga tetap akur dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Malah, dia menyifatkan ia satu kehilangan besar baginya kerana mangsa begitu akrab dengannya selain sering menjenguknya di rumah di Rusila.

“Cucu makcik ini (mangsa), anak kedua daripada empat beradik dan seorang yang periang serta peramah. Malah, dia sering datang ke rumah dan seingat makcik, kali terakhir berjumpa dengannya kira-kira seminggu lalu.

“Sebagai nenek, pastinya berita kematiannya mengejutkan, apatah lagi disebabkan lemas. Namun, kami sekeluarga tabah dan menganggap ini ketentuan-Nya,” katanya kepada Sinar Harian, di Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, semalam.

Sementara itu, sepupu mangsa, Ahmad Azmi Ngah, 38, berkata, bapa mangsa, Mahade Ismail, 49, menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi daripada salah seorang rakan mangsa yang turut sama berada di tempat kejadian dan terus bergegas ke lokasi.

“Mangsa bekerja sebagai juru x-ray sejak enam bulan lalu sebaik menamatkan pengajian di Kolej Universiti Mahsa dan sebagai sepupu, saya turut berasa kehilangannya,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Forensik HHT apabila bukan sahaja ibu mangsa, Rosmani Embong, 47, mengalirkan air mata kesedihan dan cuba ditenangkan ahli keluarga lain, tetapi beberapa kanak-kanak yang juga sanak-saudara mangsa turut diselubungi kepiluan.


Pengunjung diminta patuhi amaran



BELUKAR BUKIT - Orang ramai yang berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, diharap dapat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk mematuhi papan tanda amaran sebagai langkah awal mengelakkan berlakunya kejadian lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK 1 Mohd Zazuli Badru berkata, kegagalan pengunjung mematuhi papan tanda amaran dipasang pihak berkuasa boleh mengundang perkara tidak diingini.

Menurutnya, papan tanda amaran memainkan peranan penting sebagai notis pemberitahuan khususnya kepada pengunjung yang baru pertama kali berkunjung ke sesuatu lokasi dan seharusnya dipatuhi.

“Mengulas lanjut kejadian lemas di Air Terjun Belukar Bukit ini, kebiasaannya ia berlaku di lokasi yang sama kerana terdapat kawasan air berpusar di situ.

“Malah, papan tanda amaran juga telah dipasang di sini. Pengunjung dinasihatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sewaktu mengetuai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, Mohd Alif Mahade, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian berkenaan jam 11.01 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota.

Namun, setibanya di tempat kejadian mangsa telah ditemui oleh orang awam.


Mohd Nazri bawa keluar mangsa



BELUKAR BUKIT - “Sebelum menerima panggilan memaklumkan ada kejadian lemas oleh salah seorang rakan, saya berada di rumah jiran kerana ada kenduri. Kemudian, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan terjun ke kawasan air berpusar kerana kebiasaannya mangsa lemas akan terperangkap di situ,” kata Mohd Nazri Mat Sharif, 30.

Mat Sharif adalah salah seorang penduduk tempatan yang berjaya membawa keluar Mohd Alif dalam kejadian di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, kira-kira lima minit menyelam di sekitar kawasan air berpusar itu, dia ternampak kaki mangsa dan kemudian menariknya keluar sebelum dibantu beberapa orang awam serta penduduk tempatan di situ.

“Kejadian lemas di sini sering berlaku kerana adanya kawasan air berpusar, namun kejadian hari ini (semalam) adalah kes pertama tahun ini.

“Kebiasaannya suhu air lebih sejuk selepas musim tengkujuh dan bagi penduduk setempat ia dipanggil ‘air sejuk’. Keadaan ini juga menyebabkan orang ramai lebih mudah kekejangan otot. Jadi, pengunjung dinasihatkan agar lebih berhati-hati,” katanya. 

No comments:

Post a Comment