Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Mangsa hanya 48 jam di rumah

SH


RANTAU PANJANG – Keadaan banjir di pekan Rantau Panjang kini semakin teruk apabila air sudah mula membanjiri kawasan rendah seperti Kedai Lama, Lubok Gong, Kampung Tersan, dan beberapa kampung lain di sini.

Seorang penduduk yang ditemui, Ra Noor Asikin Husin, 38, berkata, selepas 48 jam sahaja pulang ke rumahnya di Kampung Kedai Lama, dia terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) .

Menurutnya, keadaan tersebut sudah biasa kepada penduduk setempat dan walau sudah dibersihkan mereka terpaksa berpindah untuk keselamatan.

“Penduduk di Kampung Kedai Lama hanya sempat berada di rumah kurang 48 jam dan ada yang tidak sempat membersihkan kawasan rumah mereka.

“Ini kerana keadaan hujan berterusan serta air Sungai Golok semakin meningkat dari semasa ke semasa menyebabkan air di kawasan ini hanya surut sekejap sahaja,” katanya.

Rantau Panjang sudah dinaiki air dan menyebabkan aktiviti perniagaan lumpuh di kawasan tersebut.

Jurucakap bilik gerakan Pasir Mas berkata, sebanyak enam pusat pemindahan dibuka sejak awal pagi semalam.

Pusat pemindahan tersebut KTMB (235 orang), Masjid Kubang Kua (14 orang), Kampung Putat Tujuh (20 orang), Sekolah Kebangsaan To’ Uban (9 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati (89 orang) dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum (10 orang).

Lima jalan ditutup untuk semua jenis kenderaan iaitu Kilometer 10 Jalan Pohon Tanjung ke Kampung Siram, Pohon Tanjung ke Meranti, jalan Gelang Mas ke Cabang Empat Jambu dan Pengkalan Rakit ke Cabang Empat Salam.

Sementara itu, jalan Kampung Manir ke Bukit Tuku hanya dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Sehingga jam 6 petang semalam, paras air Sungai Golok masih melebihi paras bahaya iaitu 10.23 meter.

No comments:

Post a Comment