Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Mahkamah Tinggi tiada kuasa

Utusan Malaysia Online - Mahkamah


TAIPING 7 Jan. – Seorang lelaki yang telah melakukan pembedahan menukar alat kelamin sejak empat tahun lalu, gagal dalam permohonannya untuk mengubah status jantina kepada wanita dalam MyKad.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang menolak permohonannya itu dengan kos kerana tiada bidang kuasa untuk berbuat demikian.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim memutuskan demikian di kamar beliau dengan kehadiran peguam Wong Kah Woh yang mewakili pemohon dan Peguam Persekutuan, Nazratul Natrah Mohd. Yusof yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut Kah Woh, pesuruhjaya kehakiman itu menyatakan bahawa JPN membuat keputusan yang betul semasa menolak sebarang penukaran maklumat jantina dalam MyKad selagi tidak mendapatkan pengisytiharan mahkamah.
Peguam tersebut berkata, mahkamah juga berpendapat bahawa cara terbaik menyelesaikan perkara itu adalah menggubal undang-undang di Parlimen bagi membolehkan pengisytiharan sedemikian dilakukan.
Pemohon berusia 35 tahun itu mengemukakan permohonan pada Mei tahun lalu untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia adalah seorang wanita dalam maklumat peribadi MyKad miliknya.
Dalam permohonannya, pemohon yang menamakan Ketua Pengarah JPN sebagai responden menyatakan, dia telah menjalani pembedahan menukar organ seksualnya di Thailand pada 2006.
Mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pada 7 Disember tahun lalu.
Sementara itu, Kah Woh berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan dalam tempoh dua minggu ini.
Menurutnya, pemohon yang berasal dari Kedah dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, kini menetap di Hong Kong.
“Anak guam saya memohon pengisytiharan mahkamah berhubung perkara itu kerana sering mengalami masalah Imigresen setiap kali ke luar negara atau balik ke tanah air.
“Ini bukan kali pertama mahkamah menerima permohonan itu kerana pada 2005 terdapat dua kes serupa di Mahkamah Tinggi Ipoh dan di mahkamah sama di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah Kah Woh, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan itu manakala mahkamah sama di Kuala Lumpur membenarkan permohonan itu.

No comments:

Post a Comment