Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Lelaki amuk cederakan polis




PADANG SERAI - Seorang anggota polis, dari Balai Polis Padang Serai cedera di bahagian dahi apabila cuba menenangkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang sedang mengamuk di Kampung Sidam Kanan, di sini. 

Koperal Mohd Roslan Abu Hassan berkata, ketika membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan itu, dia dimaklumkan melalui alat perhubungan supaya memberi bantuan kepada keluarga yang berdepan dengan masalah di mana salah ahli keluarga itu mengamuk dan cuba mencederakan orang ramai. 

“Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika saya dan tiga anggota lain sedang membuat rondaan pencegahan jenayah di sekitar kawasan Kampung Sidam Kanan,” katanya. 

Menurutnya, dia cuba menenangkan suspek yang bertindak agresif dan berlaku pergelutan. Lelaki itu kemudian mengambil kerusi dan memukul bahagian dahi. 

“Akibat dipukul dengan kuat, saya rebah dan mengalami luka serta pendarahan. Bagi memastikan suspek tidak melarikan diri, saya bangun dan menangkapnya. Suspek kemudiannya di bawa ke Balai Polis Padang Serai, ” katanya. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim yang datang melawat Roslan di Balai Polis Padang Serai berkata, suspek berjaya ditangkap dan akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

Menurutnya, walaupun anggota mengalami kecederaan tetapi dia terus menjalankan tugas seperti biasa. Ini menunjukkan dia komited terhadap tugas yang diamanahkan terhadapnya. 

“Dalam kejadian itu mangsa menerima kecederaan di bahagian dahi kerana dipukul dengan kerusi. Walaupun tercedera dan menerima tujuh jahitan, mangsa masih boleh bangun dan menangkap suspek. 

"Ini merupakan sikap yang harus di contohi oleh semua anggota polis. Selain itu dia tidak mengambil cuti sakit sebaliknya masih bertugas,” katanya. 

Ahmad berharap anggota polis dapat mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di Kedah pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment