Search This Blog

Monday, January 24, 2011

Konsultan ditipu RM1j


SUNGAI PETANI - Seorang konsultan mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan taktik seorang lelaki menawarkan perniagaan hingga menyebabkannya tertipu dan kerugian lebih sejuta ringgit.

Mohd Rizal Othman, 40, berkata, dia membuat laporan polis mengenai kes penipuan terancang lelaki yang dikenali sebagai Roy yang kononnya menjalankan urusan perniagaan berkaitan perdagangan jaminan bank.

Menurutnya, pada Julai 2008 dia melalui orang perantaraan diperkenalkan kepada Roy di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan Roy meyakinkannya untuk turut serta dalam perniagaan terbabit.

“Segala dokumen sokongan urus niaga dan penerangan yang diberikan amat baik sehingga meyakinkan saya dan tidak langsung menampakkan kepalsuan, akhirnya saya bersetuju menyertai mereka dalam urus niaga mata wang yang sedang dijalankan.

“Atas keyakinan diberikan, saya dan beberapa rakan yang diwakili saya sendiri bersetuju menyertainya dengan janji pulangan selepas setahun sehari bermula pada hari serahan wang dan saya menandatangani perjanjian itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Kempas, di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rizal berkata, dia kemudiannya memberikan wang berjumlah RM149,580 pada 31 Disember 2008 dengan memasukkan ke dalam akaun bank milik Roy dan pada masa sama, rakan lain turut memasukkan wang RM200,000 ke dalam akaun sama.

Menurutnya, selepas itu dia pernah menemui Roy di Kuala Lumpur dan kembali memasukkan wang secara berperingkat melalui akaun bank dari 23 Oktober 2009 hingga 19 April 2010 dengan jumlah keseluruhan RM737,700.

“Selepas 19 April 2010, Roy sepatutnya menjalankan urus niaga seperti yang dijanjikan dan akan menghubungi saya semula selepas empat hari. Namun sehingga hari ini (Sabtu lalu) Roy menghilangkan diri dan semua hubungan komunikasi seperti telefon bimbit, laman Facebook dan emel diputuskan.

“Secara jelas dia melakukan penipuan terhadap wang saya dengan jumlah RM887,280 (dalam rekod) dan RM200,000 (tiada rekod) dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM1,087,280,” katanya.

Mohd Rizal berharap polis dapat menyiasat perkara ini dan memberkas Roy untuk dia mendapatkan kembali wangnya dan pada masa sama dapat mengelak Roy terus memperdayakan mangsa lain kerana difahamkan lelaki itu yang berasal dari Yong Peng, Johor masih aktif menipu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan laporan dan siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment