Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Keputusan inkues kematian Beng Hock hari ini

Utusan Malaysia Online - Mahkamah


SHAH ALAM 4 Jan. - Keputusan inkues bagi menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam pada Julai dua tahun lalu, akan diketahui petang esok.
Koroner Azmil Muntapha Abas dijangka membacakan keputusannya di Mahkamah Koroner di sini selepas semua pihak terbabit selesai mengemukakan penggulungan hujah tiga minggu lalu.
Keputusan itu akan menentukan sama ada Beng Hock mati akibat dibunuh atau membunuh diri selain bila dan bagaimana dia menemui ajal.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza tersebut.
Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock diadakan pada 29 Julai 2009 ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.
Walaupun pada peringkat awal inkues dijangkakan selesai dalam tempoh sebulan, namun ia berlarutan selama 15 bulan tujuh hari dengan 37 saksi termasuk pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand dipanggil memberi keterangan.
Berbeza dengan dua pakar patologi, Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar, Pornthip yang dilantik oleh kerajaan Selangor berpendapat Beng Hock mati dibunuh kerana kesan lebam yang ditemui pada leher.
Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan keluarga Beng Hock agar kuburnya digali dan mayatnya dibedah siasat untuk kali kedua oleh pakar patologi berbeza pada 22 November tahun lalu.
Dalam bedah siasat kedua itu, SPRM turut menghantar wakil, Dr. Peter Venezis, pakar patologi dari United Kingdom yang kemudiannya turut memberi keterangan.
Dalam keterangannya, Venezis menyatakan, kecederaan yang dialami oleh Beng Hock menunjukkan yang lelaki itu sedar sepenuhnya pada masa kejadian.
Menurut beliau, bedah siasat kedua yang diawasi oleh beliau turut membuktikan bahawa tidak ada kecederaan yang menunjukkan Beng Hock dibunuh dengan cara lain atau dicampak ke luar tingkap.
Prosiding inkues itu dikendalikan oleh peguam yang dilantik oleh kerajaan, Tan Hock Chuan dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas.
Sementara SPRM diwakili Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan suruhanjaya tersebut, Datuk Abdul Razak Musa.
Karpal Singh dan Gobind Singh Deo hadir sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Beng Hock, manakala Malik Imtiar Sarwar mewakili kerajaan Selangor selain beberapa wakil dari Majlis Peguam Selangor.

No comments:

Post a Comment