Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

Kenderaan petugas media jadi sasaran pencuri



22/01/2011 6:21pm

IPOH - Kenderaan petugas media di sini semakin kerap menjadi sasaran pencuri yang memecah cermin kereta bagi melarikan barangan berharga seperti kamera digital dan komputer riba.
Dalam tempoh enam bulan lepas, kenderaan enam petugas media dipecah manakala sebuah pejabat media turut menjadi sasaran perompak.
Kejadian terbaru berlaku Khamis lepas membabitkan jurufoto pejabat Menteri Besar Perak yang mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila sebuah kamera digital dan komputer riba dicuri.
Mohamad Nazrul Mazlan, 27, berkata, kejadian disedari pada kira-kira 11 malam selepas dia bersama empat rakannya selesai makan di sebuah restoran di Jalan Chamberlain di sini.
"Semasa saya mahu membuka pintu kereta jenis Proton Pesona, saya dapati cermin kanan belakang pemandu dipecahkan... Saya membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah kamera dan beberapa lensa bernilai RM18,000 dan sebuah komputer riba bernilai RM2,000 telah hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Pekan Baru di sini.
Bulan lepas, jurugambar akhbar New Straits Times kehilangan kamera dan lensa apabila pencuri memecah cermin kereta yang diletak di hadapan pejabatnya di Greentown di sini.
Beberapa petugas media lain turut mengalami kejadian yang sama tetapi tidak membuat laporan polis kerana hanya cermin yang pecah dan tiada barangan berharga dilarikan.
Minggu lepas, ketua biro akhbar Kosmo Ahmad Syakir Shazili, 33, cedera apabila terjatuh selepas seorang lelaki menceroboh masuk pejabat dan cuba merentap beg kameranya.
Setiausaha Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP), Kamaruzaman Yusof meminta polis memberi perhatian serius terhadap insiden berkenaan kerana pencuri atau kumpulan yang terbabit nampaknya menjadikan kenderaan media sebagai sasaran.
"Peralatan yang digunakan agak mahal dan dipercayai pihak yang melakukan kecurian itu mungkin mengekori petugas dari pejabat mereka atau semasa membuat liputan,” katanya.
Kamaruzaman berkata, cermin keretanya turut dipecah ketika diletakkan di Medan Istana pada Oktober lepas tetapi beliau tidak membuat laporan polis kerana tiada barangan berharga yang hilang. - Bernama

No comments:

Post a Comment