Search This Blog

Saturday, January 29, 2011

Kabel dipotong jejas elektrik




LUNAS - Beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik setelah kabel utamanya dipotong oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab petang kelmarin.

Ia membabitkan kawasan Lunas, Padang Serai, Kulim, Taman Mahsuri, Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Taman Seladang, Taman Sentosa, Taman Sutera Indah dan seluruh Taman Makmur termasuk kawasan perindustriannya.

Jurutera Senggaraan Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah, Abd Razak Taib berkata, bekalan elektrik terputus pada jam 1.03 petang kelmarin dan ia direkodkan melalui alat sistem pengesan kerosakan. Ia pulih beberapa jam kemudian.

Beliau berkata kabel dipotong di ‘cable bridge’ yang melintasi Sungai Selarong kira-kira 1.4 kilometer dari pencawang masuk utama (PMU) Guthrie ke pencawang pembahagian utama Taman Makmur.

“Siasatan yang dijalankan terhadap kabel yang dipotong mendapati ada pihak menceroboh ke lokasi kabel TNB untuk mencuri tembaga yang berada di dalamnya.

“Individu yang melakukan perbuatan itu kemungkinan terpotong pendawaian di bahagian dalam kabel menyebabkannya meletup dan mengakibatkan bekalan elektrik terputus. Mangsa dipercayai mengalami kejutan elektrik berdasarkan kesan letupan pada pendawaian itu,” katanya.

Menurutnya, letupan yang berlaku mengakibatkan 101 pencawang elektrik terputus bekalan.

Selain itu, kira-kira 15,000 pengguna pelbagai kategori termasuk domestik, komersil dan industri terlibat dengan gangguan itu.

Sehingga kini TNB masih menyiasat jumlah kerosakan dan kerugian yang dialami.

Menurutnya, laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Kulim.

“Bekalan dapat dipulihkan secara berperingkat menerusi sumber punca bekalan lain. Keseluruhan pengguna terlibat dengan gangguan ini mendapat semula bekalan pada jam 4.41 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan mengesahkan laporan yang dibuat TNB dan belum mendapat apa-apa maklumat mengenai mangsa yang dimasukkan ke hospital akibat terkena renjatan elektrik.

No comments:

Post a Comment