Search This Blog

Saturday, January 29, 2011

Jangan terpedaya


PASIR GUDANG – Seorang wanita terkejut apabila menerima sistem pesanan ringkas (SMS) yang kononnya daripada suaminya yang meminta menambah nilai kad prabayar telefon bimbit melalui kad sim yang baru dibeli.

Khamisah Md Tahir, 40, berkata, lebih memeranjatkan apabila SMS tersebut memaklumkan kepadanya bahawa suaminya sedang berurusan penting di balai polis.

Menurutnya, tindakannya yang segera menghubungi suami merungkai penipuan SMS tersebut apabila suaminya tidak berada di balai polis, malah tidak menghantar SMS meminta isteri menambah nilai kad prabayar telefon bimbitnya.

“Pada mulanya, saya terkejut jugalah apabila SMS tersebut mengatakan daripada suami saya yang sedang berurusan penting di balai polis, tetapi nasib baik tidak segera menuruti kehendak pengirim SMS tersebut.

“Suami menyuruh saya memadam SMS tersebut dan tidak membenarkan saya membalas SMS atau menghubungi nombor tersebut kerana mengesyaki sindiket penipuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khamisah berkata, nombor telefon bimbitnya yang diedarkan ke merata tempat kerana urusan tempahan menjahit baju tidak mustahil diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, isu penipuan melalui SMS ini kerap didengari daripada rakan dan jiran, tetapi sehingga kini masih berleluasa seolah-olah tiada penyelesaian oleh pihak bertanggungjawab.

“Saya menyeru orang ramai terutama kaum wanita supaya tidak mudah terpedaya dengan SMS sedemikian, sebaliknya mengambil tindakan bijak atau menghubungi suami terlebih dahulu untuk mengesahkan kejadian.

“Pihak bertanggungjawab juga diminta lebih peka dengan isu ini dan boleh mencari jalan penyelesaian terbaik kerana saya percaya sudah ramai yang menjadi mangsa penipuan sebegini,” katanya.

No comments:

Post a Comment