Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Jaga anak baik-baik, abang mahu bunuh diri”

SH
Dungun - “Jaga anak baik-baik, abang mahu bunuh diri,” itulah kata-kata terakhir yang sempat dilafazkan Mohd Badrul (bukan nama sebenar) kepada isterinya, Alimah (bukan nama sebenar) sebelum dia ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Rumah Murah Nibong, dekat sini petang semalam.

Alimah yang kelihatan masih trauma selepas berhadapan detik ngeri itu ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun berkata, sebelum suaminya itu menggantung diri, berlaku sedikit pertengkaran mulut antara mereka berdua menyebabkan Supian mengarahkannya agar pulang ke rumah orang tuanya di Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Alimah berkata, berikutan pertengkaran itu, suaminya turut menghalaunya keluar dari bilik tidurnya lalu dia bersama bayi lelakinya, Mohd Azhar beredar dari bilik tidur terbabit sebelum Mohd Badrul mengunci semua pintu bilik.

Alimah berkata, untuk mengelakkan daripada berlaku pergaduhan lebih besar, dia bersama anaknya yang baru berusia 11 bulan nekad untuk pulang ke rumah orang tuanya.

“Beberapa minit kemudian, dia memanggil saya semula, ketika menghampiri bilik tersebut, dia sempat memberitahu saya agar menjaga anak kami kerana dia berhasrat untuk membunuh diri.

“Pada mulanya saya anggap dia hanya bergurau, namun lebih kurang satu jam kemudian ketika saya berada di luar, kakak tirinya memberitahu saya bahawa dia melihat Mohd Badrul dalam keadaan tergantung sebelum memanggil datuknya untuk memecahkan pintu lalu melihat dia dalam keadaan yang amat mengerikan,” kata Alimah.

Menurut ibu yang baru menimang cahaya mata pertama itu, sebelum ini sering berlaku perselisihan faham antara mereka berdua, namun suaminya itu yang sebelum ini bekerja sebagai buruh tidak pernah menyatakan hasratnya untuk melakukan tindakan terkutuk itu.

Menurut Alimah, mereka menghadapi tekanan emosi kerana sering berselisih pendapat, terutama berkaitan tanggungjawab suaminya sebagai ketua keluarga yang tidak mempunyai pendapatan bagi menyara keluarganya.

“Sejak tiga bulan berpindah ke sini, sudahlah menumpang di rumah kakak tirinya, dia pula tidak bekerja, kami sudah mempunyai anak, jika dia tidak bekerja, bagaimana ingin menyara keluarga, sebab itulah saya sering bergaduh dengannya.

Mohd Badrul ditemui mati dalam keadaan tergantung dengan tali buai oleh kakak tirinya di sebuah bilik di Nibong, kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Polis yang mendapat maklumat bergegas ke lokasi kejadian lalu membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai menggantung diri dengan menggunakan tali buai anaknya.

Turut ditemui dalam bilik berkenaan ialah satu botol gam dalam plastik dan mangsa difahamkan turut mempunyai rekod penyalahgunaan dadah.
Menurut Dahlan, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa membunuh diri akibat tekanan emosi yang dipercayai berpunca daripada masalah rumahtangga.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment