Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Ibu rayu Siti Nor Hazirah pulang



PASIR PUTEH – Sudah beberapa hari seorang ibu di sini, tidak menjamah makanan memikirkan anak perempuan sulungnya, Siti Nor Hazirah Hashim, 17, yang pergi tanpa meninggalkan pesan sejak Ahad lalu.

Ibu tersebut, Pauwina Khalid, 32, berkata, anaknya itu merupakan pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal dan menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Gong Garu, di sini dipercayai kerana mengikut teman lelaki.

“Semasa ingin mengejutnya ke sekolah hari tersebut, alangkah terkejutnya saya melihat dia tiada, begitu juga pakaian serta barangan kesayangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Gong Garu.

Menurutnya, Siti Nor Hazirah tidur bersama dua lagi adik perempuannya tetapi mereka tidak sedar bila dia keluar dari rumah.

“Apa yang menghairankan, saya dan suami, Hashim Hamzah dan empat lagi anak tidak pernah bergaduh atau mempunyai salah faham dengan Siti Nor Hazirah,” katanya.

Dia berkata, apa yang dilakukan Siti Nor Hazirah itu sangat dikesalinya, bagaimanapun dia dan suami merayu agar Siti Nor Hazirah pulang kembali ke sisi keluarga dengan segera.

“Tolonglah kakak, balik semula ke rumah, mak adan ayah tidak marah, kami hendak kakak pulang dengan selamat kerana kami sangat risaukan keselamatan kakak,” katanya yang merayu agar Siti Nor Hazirah pulang ke rumah semula.

Pauwina berkata, berikutan kejadian tersebut, mereka membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh pada hari berkenaan selepas beliau mendapati Siti Nor Hazirah tidak ke sekolah dan pulang ke rumah.

Pauwina berkata, mereka percaya anak gadisnya itu melarikan diri bersama seorang lelaki memandu sebuah kereta Proton Saga berwarna putih yang sudah diubahsuai.

“Penduduk kampung memberitahu pernah melihat Siti Nor Hazirah keluar dengan lelaki tersebut beberapa kali,” katanya.

Menurutnya, kepada mana-mana pihak yang melihat gadis berkulit putih dan berambut lurus melepasi bahu, bersama lelaki berkenaan diminta melaporkan kepada pihak polis berdekatan dengan segera atau menelefonnya sendiri atau suami, di talian 010-9191585.

“Saya bimbang kehilangan Siti Nor Hazirah akan menjejaskan masa depannya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment