Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

Hilang harta bernilai RM20, 000




SIMPANG KALANG – Sepasang suami isteri yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran rumah akhir tahun lalu, mendapat perhatian masyarakat setempat yang menyalurkan pelbagai sumbangan bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Kalang, Baharudin Zakaria berkata, kejadian pada 30 Disember tahun lalu mengakibatkan mangsa kerugian harta bernilai RM20,000.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas dan mangsa sekeluarga tidak ada di rumah ketika kebakaran berlaku.

“JKKK Simpang Kalang dan Jawatankuasa Pengurusan Dewan Simpang Kalang menyampaikan sumbangan tunai dan peralatan dapur kepada mangsa, Rohana Mahasan, 40.

“Difahamkan rumah didiami mangsa dan suami, Che Mohamad Fauzi, 47, disewa daripada penduduk tempatan,” katanya.

Baharudin berkata, kejadian bermula jam 5 petang ketika waktu puncak penduduk setempat pulang dari kerja.

Katanya, keseluruhan rumah hangus termasuk sebuah kereta, perabot, mesin basuh dan mesin tebu.

“Mangsa juga menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin dan menerima sumbangan tunai RM1,000.

“Beberapa anggota dan pegawai polis termasuk Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman turut hadir melihat keadaan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan mangsa dipantau dan sebarang sumbangan bantuan daripada orang ramai digalakkan bagi meringankan beban mangsa.

No comments:

Post a Comment