Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Geng samun tumpas

SH


JOHOR BAHRU - Pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta Nissan Sentra yang dinaiki tiga suspek dipercayai terlibat dalam kes samun, setelah memandu secara berbahaya dan enggan berhenti walaupun sudah diarahkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata, tembakan itu mengenai bahagian hadapan kereta suspek yang memandu secara agresif dan mahu melanggar kenderaan polis untuk melarikan diri.

“Kira-kira jam 3.30 pagi pada 4 Januari lalu, dua anggota polis yang membuat rondaan di kawasan Jalan Sutera, Taman Pelangi terserempak dengan sebuah kereta yang mencurigakan.

“Setelah diarahkan berhenti, kereta tersebut terus memecut laju sehingga ke jalan mati. Pemandu itu kemudiannya cuba merempuh bahagian hadapan kenderaan MPV polis,” katanya di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek yang berumur di antara 28 hingga 41 tahun itu berjaya ditahan.

Katanya, hasil siasatan, polis menemui sebuah beg berisi parang panjang, pisau, gergaji besi, topeng muka, spanar, sarung tangan dan telefon bimbit di dalam kenderaan terbabit.

“Semakan lanjut juga mendapati kenderaan suspek dilaporkan disamun di Kangkar Pulai sebelum ini. Kesemua suspek dikehendaki ditahan reman kerana dipercayai terlibat tidak kurang tujuh kes samun di sekitar Johor Bahru,” katanya di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mencuba membunuh orang dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan. Kes itu juga

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Senjata Berbahaya 1958 iaitu membawa senjata berbahaya di tempat-tempat awam dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan sebatan.

Sementara itu, dalam kejadian lain di tepi Jalan Segget pada 4 Januari lalu, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah IPD Johor Bahru Selatan telah membuat pemeriksaan ke atas empat lelaki berusia antara 19 hingga 21 tahun kira-kira jam 10.30.

“Hasil pemeriksaan termasuk pada sebuah kereta yang diletakkan berhampiran, polis telah berjaya merampas sembilan telefon bimbit, dua rantai emas,tukul besi, kamera dan pemain DVD.

“Manakala kenderaan jenis Proton Wira yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah dilaporkan hilang di Kelana Jaya, Selangor,” katanya.

Menurut Mokhtar, polis juga telah ke sebuah bilik hotel yang disewa suspek di Taman Sentosa dan merampas lima telefon bimbit.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan. Kes disiasat mengikut Sek�syen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu berkawan menggunakan senjata dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat,” katanya.

No comments:

Post a Comment