Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Gelabah kerana salah

MERSING: Gelagat seorang pemandu lori tangki yang menggelabah ketika disoal siasat polis membongkar kegiatannya membawa 10,920 liter minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran di Kilometer 1, Jalan Mersing Endau, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi di satu persimpangan lampu isyarat, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan berikutan gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa bahan bakar itu ketika diminta polis.

Timbalan Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2, Superintendan N Kalai Chelvan berkata, bertindak di atas maklumat awam, anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan berat itu.

Katanya, meskipun lelaki itu cuba memberi maklumat palsu bagi mengaburi pihaknya, siasatan dijalankan mendapati bahan bakar itu dibawa tanpa kebenaran.

“Sepatutnya majikan lelaki itu mendapatkan permit kebenaran untuk membawa bahan bakar itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Bahan bakar bersubsidi itu dipercayai dibawa untuk dijual kepada pihak tertentu bagi mengaut keuntungan berganda.

“Pemandu lori itu ditahan dan kenderaan itu disita mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa bahan bakar bersubsidi tanpa kebenaran,” katanya.

Kalai berkata, dalam kejayaan terdahulu iaitu akhir tahun lalu, pihaknya menahan seorang lelaki yang menyeludup 16,300 liter minyak diesel.

No comments:

Post a Comment