Search This Blog

Monday, January 17, 2011

Gara-gara baca SMS madu



BUKIT JALIL - Hanya kerana membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit milik suaminya, seorang wanita 44 tahun cedera ditumbuk, dipukul suami tanpa belas kasihan di rumahnya di sini, kelmarin.

Lebih malang, suaminya yang juga nazir sebuah masjid di Sungai Buloh turut menceraikan mangsa sebelum membelasahnya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mimi berkata, kejadian berlaku selepas suaminya itu selesai menunaikan solat Isyak.

Menurutnya, sebelum kejadian dia mendapat tahu madunya (isteri pertama suaminya) ada membuat panggilan telefon kepada suaminya yang kebetulan berada di rumahnya untuk mengadukan hal mengenai dirinya.

“Saya hanya mendapat tahu dalam perbualan itu, isteri pertama mengadu saya sering membaca SMS di telefon milik suami.

“Dia yang seolah-olah hilang pertimbangan terus melafazkan cerai kepada saya di dalam bilik tidur pangsapuri milik saya,” katanya.

Mimi berkata, suaminya yang juga ahli sebuah pertubuhan politik itu hilang pertimbangan, berang tiba-tiba sebelum mengangkat dan menghumbannya ke atas serta menumbuk di bahagian mata kanan serta hidung sebanyak dua kali

“Tidak cukup dengan itu, dia turut menghentak dada saya, rasa sakit itu masih terasa hingga kini.

“Semuanya berlaku hanya kerana saya membaca SMS dihantar isteri pertama, saya tidak menyangka dia sanggup bertindak sebegini sekali memandangkan dia adalah seseorang yang warak dari segi agama,” katanya yang memaklumkan dia bernikah dengan suaminya itu di Songkhla, Thailand Jun 2009 selepas perkenalan singkat yang berlaku di Negeri Sembilan.

Katanya, selepas keadaan kembali reda, suaminya kemudian meninggalkannya dalam keadaan kesakitan selepas memintanya mengemas pakaian yang ada di rumah itu.

“Sebelum meninggalkan rumah, dia sempat mengutuk saya dan berkata macam-macam terhadap anak hasil perkahwinan dengan suami pertama yang lalu.

“Saya kesal dia tergamak melakukan sedemikian apatah lagi tidak pernah memberi nafkah kepada saya dan hanya membayar bil air dan elektrik di rumah sahaja, itu pun kadangkala dia tidak membayarnya,” katanya yang membuat satu laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil di sini, petang semalam.

No comments:

Post a Comment