Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Gajah serang kebun getah



TANAH MERAH – Angkara enam gajah seorang pekebun kecil getah berdepan kerugian RM50,000 berikutan tanaman getahnya di Air Petai dekat sini, ranap dimusnahkan haiwan itu.

Mangsa, Zahari Yusoff, 58, yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Kampung Kuala Tiga berkata, anak getah berusia lingkungan dua hingga tiga tahun itu dipijak, dicabut dan dipatahkan gajah liar dipercayai mendiami kawasan sekitar kebun getah tersebut.

Menurutnya, kejadian disedari berlaku awal bulan ini ketika hujan lebat tetapi beliau tidak dapat ke kebun terletak kira-kira 52 kilometer daripada Bandar Tanah Merah disebabkan keadaan jalan licin dan becak.

“Sebaik cuaca panas, keadaan jalan bertambah baik saya ke mari tetapi terkejut melihat sekitar 850 anak pokok getah yang dicabut, dipatahkan serta dipijak gajah.

“Anak getah yang dicabut sebahagiannya boleh ditanam semula, ada juga yang telah mati, tanaman ini dijangkakan dapat ditoreh sekitar tiga hingga empat tahun lagi,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sekitar kawasan kebun yang musnah tengah hari semalam.

Zahari berkata, kejadian awal bulan ini adalah insiden kedua berlaku di kebun miliknya yang diusahakan sejak 1985.

Menurutnya, kejadian pertama menyebabkan kerugian sekitar RM10,000 sahaja berikutan kos pengurusan ketika itu agak rendah.

“Kerugian kali ini agak besar berikutan harga anak getah, kos upah menanam, menebas, membaja, meracun sekarang begitu mahal.

“Saya meminta pihak Perhilitan supaya memantau hidupan liar bagi mengelak kejadian sama berulang kepada pekebun kecil lain,” katanya.

Turut dimusnahkan anak pokok getah yang baru disemai berhampiran sungai di kebun ini.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan penduduk kampung, gajah tersebut masuk ke kawasan kebun setelah kawasan hutan didiami telah diterokai untuk tujuan pembalakan.

No comments:

Post a Comment