Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Empat nelayan hilang, APMM henti operasi dan penyelamat

SH
KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur menghentikan operasi mencari dan menyelamat empat daripada lima nelayan yang hilang dalam kejadian bot pukat tunda tenggelam pada 30 Dis lepas.
Ketua Penguatkuasa Wilayah Maritim Timur Laksamana Pertama Maritim Nasir Adam berkata pihaknya menghentikan operasi itu petang semalam berikutan faktor cuaca buruk yang menyukarkan usaha mencari dan menyelamat.
Beliau berkata, sepanjang operasi dijalankan bermula hari kejadian, keadaan angin kencang sehingga 70 kilometer sejam manakala ketinggian ombak melepasi 3.5 hingga 5.5 meter.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi pada 30 Dis lepas, empat nelayan Thailand yang dikenali sebagai Wuttichai, 28, Anan, 20, Phoysek, 28, dan Sai, 28, dan seorang tekong tempatan, Tan Kiew Kun, 62, hilang apabila bot pukat tunda kelas C yang dinaiki mereka tenggelam di 15 batu nautika tenggara dari Tanjung Gelang di sini.
Mayat seorang daripada mereka yang identitinya belum dikenalpasti ditemui oleh nelayan selasa lepas pada jarak 32 batu nautika dari Kuantan manakala mayat seorang lagi mangsa ditemui di 23 batu nautika dari Kuantan tetapi sebelum kapal Tentera Laut Diraja Malaysia tiba di kawasan berkenaan, mayat itu tenggelam semula.
"Kedua-dua mayat yang ditemui didapati tidak memakai jaket keselamatan dan daripada penemuan ini kita beranggapan semasa kejadian, semua mangsa tidak memakai jaket keselamatan," kata Nasir.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada pukul 4 petang semalam bagaimanapun akan disambung semula jika pihaknya mendapat petunjuk baru berkaitan kejadian.

No comments:

Post a Comment