Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Edar dadah dekat surau

myMetro | Edar dadah dekat surau
KUALA TERENGGANU: Perwatakan alim seorang lelaki sering dilihat di sebuah surau di Kampung Losong Haji Awang, di sini, terbongkar apabila dia sebenarnya menjadikannya sebagai lokasi mengedar dadah disimpan dalam kereta di parkir di kawasan berdekatan.
Taktik licik lelaki berusia 36 tahun dari Bachok, Kelantan itu berakhir apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 9.45 malam Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dengan melawan anggota polis hingga berlaku pergelutan.

“Sebaik ditahan, suspek membawa polis ke Proton Perdana diletak berhampiran surau kira-kira 50 meter dari rumahnya sebelum menemui 67 botol dadah jenis heroin seberat 311.6 gram bernilai RM100,500.

RAMPAS...Roslan (tengah) menunjukkan heroin dan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, Selasa lalu.
RAMPAS...Roslan (tengah) menunjukkan heroin dan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, Selasa lalu.

“Polis turut merampas wang tunai RM3,165 disyaki hasil kegiatan penjualan dadah. Suspek kini direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.


Beliau berkata, suspek dipercayai pengedar dan penagih yang aktif mengedar bahan terlarang itu sejak 10 tahun lalu dan mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta pernah dihukum mahkamah.

Katanya, suspek pernah dihukum dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6, Seksyen 7(1), Seksyen 12(2) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 11(A)(1) ADB 1952 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

“Susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah lain berhampiran dan berlaku pergelutan sebelum pihak polis menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam premis berkenaan berusia antara 20 hingga 36 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati kelima-lima lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine dan opiate.

“Tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan masih lagi dalam pengawasan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas 800 pil kuda bernilai RM24,000 manakala semua suspek direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952.

“Polis percaya dengan tertangkapnya lelaki berkenaan yang dipercayai perancang utama, dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif sekitar daerah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment