Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Dua sahabat terkejut jumpa bayi dalam beg galas

Utusan Malaysia Online - Jenayah


KUALA LUMPUR 4 Jan. - Dua sahabat yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terkejut menemui bayi lelaki masih hidup di dalam beg galas di hadapan pagar sebuah sekolah rendah di Persiaran Titiwangsa, di sini hari ini.
Bayi malang dipercayai berusia enam hari itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana hampir lemas akibat dimasukkan ke dalam beg galas berwarna hitam dalam keadaan tertutup.
Difahamkan, bayi terbabit telah ditinggalkan di hadapan pagar sekolah tersebut kira-kira sejam sebelum ditemui pada pukul 1.30 tengah hari.
Salah seorang wanita yang menemui bayi terbabit, Norabiatul Adawiyah Yunus, 23, berkata, dia bersama rakannya, Nizul Ahmad, 21, terserempak dengan sebuah beg ditinggalkan di bawah pokok di hadapan pagar sekolah berkenaan.
"Curiga melihat beg tersebut, saya meminta Nizul membuka untuk memeriksa.
"Sebaik sahaja dibuka, kami dapati ada satu bungkusan tuala putih di dalamnya lalu kami meletakkannya semula," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Norabiatul berkata, mereka berdua bagaimanapun terkejut apabila mendengar suara bayi menangis sebaik sahaja meletakkan beg tersebut.
Mendengar tangisan itu, katanya, mereka berdua segera membuka semula beg tersebut untuk memeriksanya dan terperanjat mendapati balutan kain putih terbabit mengandungi bayi lelaki cukup sifat.
Menurut Norabiatul, mereka kemudian cuba meminta orang awam yang melalui tempat kejadian mendapatkan bantuan namun tiada yang sudi menghulurkan pertolongan.
"Kami bagaimanapun bernasib baik apabila pada masa sama kebetulan ada sebuah kereta polis melalui kawasan tersebut.
"Kami segera memaklumkan penemuan bayi itu kepada anggota polis terbabit yang kemudian menghubungi ambulans untuk membawa bayi berkenaan ke HKL," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan bayi tersebut.
Beliau berkata, keadaan bayi tersebut kini stabil dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

No comments:

Post a Comment