Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Dua lagi syarikat disiasat


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Dua lagi syarikat pembungkusan minyak masak disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana disyaki menyeleweng pengeluaran bahan itu menjadikan enam syarikat disiasat berhubung perkara itu setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarikat terbabit disiasat kerana aktiviti mencurigakan berikutan kekurangan bekalan minyak masak di pasaran dan boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.
Menurutnya, berikutan kekurangan bekalan minyak masak di hampir seluruh negara baru-baru ini, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak untuk mengenal pasti punca kekurangan bekalan tersebut.
Katanya, jawatankuasa bertindak itu dianggotai enam pihak iaitu kementerian tersebut; Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Kita akan mencadangkan kepada MPOB supaya lesen syarikat yang terlibat dalam penyelewengan minyak itu ditarik balik. Ini berikutan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan bekalan di pasaran tidak dapat memenuhi permintaan," katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau operasi sebuah syarikat pembungkus minyak masak, Golden Palm Oil Industries Sdn. Bhd. di Bandar Tun Razak, dekat sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, bekalan minyak masak yang berkurangan baru-baru ini juga berikutan sebuah syarikat iaitu antara pemain utama dan tersenarai di Bursa Malaysia dikesan menghentikan operasi sehingga menyebabkan 5,000 tan metrik minyak masak tidak dijual.
Katanya, dengan tindakan kerajaan menambah sehingga 84,000 tan metrik bekalan minyak masak bulan ini, kekurangan bekalan dijangka pulih dalam tempoh dua minggu ini.
Jelasnya, MPOB bertanggungjawab ke atas subsidi dan pelesenan untuk syarikat pemborong dan pembungkus manakala pihak kementerian mengawal harga di pasaran.

No comments:

Post a Comment