Search This Blog

Wednesday, January 19, 2011

Detik cemas kereta hangus terbakar di lebuh raya


SEREMBAN 18 Jan. - Detik mencemaskan seorang lelaki apabila berjaya keluar dari kereta yang dipandunya sebelum hangus terbakar di Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini, pasti menjadi kenangan pahit sepanjang hayatnya.
Apa tidaknya, jika dia alpa dan terus memandu kereta Mercedes-Benz itu di lebuh raya, entah apalah nasibnya selepas itu.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Michael berusia 30-an, dalam perjalanan ke ibu negara sebelum keretanya terbakar di Kilometer 284 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur masuk Nilai, dekat sini, petang semalam.
"Hari ini, saya betul-betul bernasib baik. Hati saya tergerak memberhentikan kereta. Kalau tidak, entah apalah jadi kepada saya," katanya ketika ditemui semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, kereta dipandunya tiba-tiba terbakar sebaik sahaja dia memberhentikan kenderaan itu di tepi lebuh raya berkenaan.
Michael berkata, dia melarikan diri sejauh 100 meter dari kereta yang sedang marak itu apabila terdengar beberapa letupan sebelum ia hangus terbakar.
"Saya lihat kepulan asap di bahagian enjin. Tentulah sesiapa yang memandu kereta, akan merasa cemas.
"Saya ingatkan ia cuma kerosakan kecil. Tidak sangka pula, ia berakhir dengan tragedi ini," ujar Michael.
Katanya, mujurlah dia sempat mengambil beberapa dokumen dan barangan penting di dalam kereta sebelum kenderaan itu terbakar.
"Saya berterima kasih kepada seorang penunggang motosikal, yang membantu saya mengambil semua dokumen dari kenderaan itu," katanya.
Kebakaran itu menyebabkan kedua-dua hala lebuh raya berkenaan sesak sejauh beberapa kilometer.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan 2 dari Balai Bomba Seremban 2 dekat sini, Nurazim Md. Shah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.
"Dua jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus kita menerima maklumat berhubung kes berkenaan.
"Kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadamkan dalam tempoh 10 minit, bagaimanapun kita masih mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya.

No comments:

Post a Comment