Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Dapur rumah terbakar tiba-tiba



JERAM – Seorang ibu bersama lima anaknya tidak sempat menjamah nasi dan lauk yang dimasak apabila dapur rumah mereka terbakar secara tiba-tiba di Kampung Banggol Telipot, di sini kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Mazni Zakaria, 38, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Machang berkata, kejadian berlaku selepas beliau siap memasak makanan untuk anak-anaknya.

“Pada waktu itu saya sudah menutup api dapur gas, tetapi ia masih menyala, dan ini menimbulkan takut kepada kami anak-beranak.

“Tanpa berfikir panjang, saya menyuruh anak-anak keluar rumah kerana takut tong gas meletup,’’ katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menurutnya, nasib baik beliau tergerak hati untuk menutup suis utama elektrik di rumah, jika tidak pasti keadaan menjadi semakin teruk.

Mazni berkata, api cepat merebak apabila sebahagian kabinet dapurnya sudah terbakar dan juga beberapa barangan elektrik juga rosak akibat disambar api.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana kebakaran tidak melarat dan cuma melibatkan bahagian dapur sahaja.

“Saya anggarkan kerugian sebanyak RM5,000, tetapi saya sedih sebab anak-anak tidak sempat makan apa-apa dan semua makanan sudah tidak boleh dimakan lagi,’’ katanya yang mempunyai dua anak perempuan dan tiga lelaki, berumur dari 12 hingga tiga tahun.

Menurutnya, kebakaran dapat dipadamkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dengan kehadiran dua jentera dan lapan anggota yang diketuai Zulkifli Hamid.

No comments:

Post a Comment