Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Dakwa ditipu, dinafikan hak



KLANG - Seorang penjawat awam bukan sahaja tertekan apabila ditipu syarikat jual kereta sehingga menyebabkan dia kerugian RM3,000, malah kelitu dengan reaksi balas Tribunal Pengguna terhadap aduannya.

Izhab Ismail, 50-an berkata, semuanya ekoran impian membeli kereta untuk anaknya yang belajar di sebuah institusi pengajian awam (IPTA) dalam jurusan perubatan berkecai kerana bayaran pendahuluan lesap dan kereta yang dijanjikan tidak diperoleh.

Menurutnya, kejadian bermula apabila dia berhasrat membeli kereta terpakai jenis Proton Gen2 di sebuah Kedai di sekitar Klang milik pasangan suami isteri berpangkat Datuk dan Datin pada Ogos tahun lalu.

“Pada awalnya harga kereta itu dijual dengan harga RM30,800. Jadi saya bersetuju membayar RM3,000 sebagai bayaran pendahuluan dan selebihnya menunggu kelulusan pinjaman.

“Bagaimanapun seminggu kemudian, saya dimaklumkan pekerja kedai itu bahawa pinjaman diperoleh berjumlah RM27,000. Oleh itu, saya bertemu dengan pemiliknya, seorang Datin dan Datin terbabit dimaklumkan harga kereta yang diingin dibelinya itu bukan RM30,800 sebaliknya meningkat beberapa ribu,” katanya.

Izhab berkata, dia pelik bagaimana mana harga kereta yang ingin dibeli bertambah sedangkan perjanjian awal harganya jauh lebih rendah.

Katanya, pekerja kedai itu memberi alasan bahawa mereka harus membayar pelbagai proses sebelum kereta itu diserahkan kepada pembeli.

“Ekoran kejadian ini saya membatalkan niat membeli kereta itu apabila merasakan mereka cuba memperdaya saya untuk mengaut keuntungan dan meminta mereka memulangkan semula wang pendahuluan saya namun mereka enggan.

“Saya kemudiannya membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna       Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor berhubung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya hadir bagi mendengar perbicaraan masalah terbabit sebanyak empat kali namun Datin itu tidak hadir tiga kali atas alasan kurang sihat sehinggalah perbicaraan kali ke-4 diadakan.

“Hasil perbicaraan itu, pihak Tribunal meminta Datin itu membayar RM200 sahaja kepada saya sedangkan jumlah selebihnya mereka mendakwa sudah diguna untuk bayaran cukai jalan kenderaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom yang diletakkan dalam satu resit.

“Apabila saya ingin melihat buktinya, mereka tidak benarkan. Perkara ini turut berlaku kepada pembeli kereta lain yang mendakwa mereka tidak diberikan resit Datin itu ketika membuat urusan beli kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Izhab berkata, dia hanya mahu haknya sebagai pengguna diperjuangkan bukannya ditipu dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dengan segera demi kebaikan mereka yang senasib dengannya.

No comments:

Post a Comment