Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Bumbung diterbangkan angin

SH


PASIR PUTEH– Seorang penduduk Kampung Wan Omar dekat sini hanya menyedari kejadian ribut berlaku di kawasan rumahnya apabila dia tersedar tidur setelah badannya terkena tempias hujan dari bumbung rumahnya yang tercabut.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.40 pagi kelmarin menyebabkan bumbung di bahagian ruang tamu rumah Mohd Yusoff,50, diterbangkan angin.

Mohd Yusoff berkata, selepas tersedar dari tidur, dia berada dalam keadaan tergamam seketika kerana kejadian ribut itu berlaku begitu pantas.

“Kejadian ini berlaku sekelip mata sahaja sehinggakan saya tidak terdengar apa-apa bunyi pun,’’ katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Beliau berkata, ini merupakan kejadian kedua yang berlaku tetapi ia lebih teruk jika dibandingkan dengan kejadian sebelum ini hanya menerbangkan beberapa keping zink rumahnya sahaja.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada kecederaan yang berlaku kerana pada waktu kejadian isterinya, Saidah Mat Husein,38, keluar bekerja di kilang memproses bebola ikan sementara anak bongsunya, Fifi Nakesha, 3, berada di rumah neneknya.

Kejadian sama turut menimpa dua rumah jirannya, Che Mohd Hazli Fairuz Che Mod,26, yang mendakwa ribut itu berlaku tidak sampai satu minit.

Che Mohd Hazli berkata, kejadian berlaku ketika dia menjaga anaknya kerana isterinya bekerja di kilang bebola ikan.

“Ia terjadi betul-betul di atas kepala saya apabila beberapa keping zink diterbangkan angin sehingga menyebabkan saya dan anak basah kuyup.

“Sambil memeluk anak, saya bergegas turun dari rumah dan sempat melihat angin puting beliung membawa zink rumahnya hingga tersangkut di pokok petai berhampiran rumah saya,” katanya.

Walaupun penduduk pernah memberitahunya bahawa rumahnya berada di laluan puting beliung, dia tidak berhajat untuk pindah.

Kesemua mangsa ribut itu menerima sumbangan segera daripada Tabung Bencana Alam berjumlah RM500 setiap seorang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

No comments:

Post a Comment