Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Buaya dan ular turut jadi ancaman



ROCKHAMPTON (Australia): Para penduduk di bandar pesisir Rockhampton yang terjejas dengan banjir terburuk dalam tempoh berdekad diberi amaran supaya menjauhi air.
Mereka bukan saja dikhuatiri dihanyutkan oleh arus deras malah berdepan dengan ancaman buaya serta ular.Sebahagian besar daripada bandar Rockhampton ditenggelami air semalam dan paras air terus meningkat.Banjir di bandar yang didiami sekitar 75,000 penduduk itu dijangka mencapai kemuncaknya hari ini.Sejauh ini, paras air banjir telah mencapai sehingga 10 meter.Bandar itu merupakan bandar terbaru daripada 22 bandar di Queensland yang kini ditenggelami banjir.Datuk Bandar, Encik Brad Carter, berkata para penduduk telah diberi amaran supaya tidak mendekati air sambil menarik perhatian bahawa arus yang deras boleh menghanyutkan kenderaan.Sekurang-kurangnya dua orang telah mati lemas setelah kereta mereka dihanyutkan.Para penduduk juga telah melaporkan mereka melihat lebih banyak ular, ada sepanjang dua meter, menyusur dalam air.Encik Carter berkata buaya juga telah dikesan di kawasan sungai Fitzroy.'Kami tidak rasa keselamatan awam terancam jika mereka tidak mendekati kawasan yang ditenggelami air. Namun, jika mereka masuk ke dalam air, keselamatan mereka tidak dapat dijamin,' kata Encik Carter.Cik Suzanne Miller, yang memiliki kelab malam di Hotel Pioneer di sini, berkata ibunya hampir-hampir mati dipatuk ular.'Ular merupakan satu masalah besar di sini. Saya telah menutup semua pintu kerana banyak ular yang masuk ke dalam,' kata beliau.Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, menyampaikan ucap takziah kepada mangsa banjir.Beliau berkata Washington bersedia menghulurkan bantuan jika diperlukan.Kelmarin, pesawat kargo tentera telah mendarat di bandar ke utara Rockhampton untuk mengagihkan bantuan makanan, perubatan dan air. -- AFP, AP.

No comments:

Post a Comment