Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Bicara kes rasuah bekas pengurus kanan Sime Darby 11 April

Utusan Malaysia Online - Mahkamah


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Perbicaraan terhadap bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., Mazhazmi Jamaludin yang didakwa menerima rasuah RM200,000 akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini selama lima hari mulai 11 April ini.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh tersebut semasa kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Peguam bela Shamsul Sulaiman yang mewakili Mazhazmi, sebelum itu memaklumkan bahawa pihaknya sudah menerima dokumen-dokumen yang diperlukan daripada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Morais turut menyatakan, pihaknya akan memanggil kira-kira 10 saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Rozilah kemudian mengingatkan kedua-dua pihak agar bersedia pada hari perbicaraan kerana tarik-tarikh itu diputuskan dengan persetujuan daripada mereka sendiri.

Menurut beliau, perbicaraan yang ditetapkan pada 11, 12, 18, 25 dan 26 April ini akan tetap berjalan meskipun peguam memberi alasan mempunyai kes di mahkamah lain.

Mazhazmi, 37, dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah wang tunai RM200,000 daripada pemilik syarikat pembinaan kapal, MLC Shipbuildings Sdn. Bhd. (MLC), Redzuan Goh Mohammed Karian.

Suapan wang tersebut adalah sebagai upah bagi mencadangkan MLC kepada Sime Darby dalam mendapatkan kontrak pembinaan dan penjualan tiga buah kapal tunda (barge) bernilai AS$134.2 juta (RM467.9 juta).

Upah tersebut juga didakwa sebagai balasan kepada tertuduh yang mengesahkan bayaran tertentu bagi pembinaan kapal-kapal tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 1.25 petang dan 5 petang, 31 Disember 2008 di bilik mesyuarat syarikat tersebut yang terletak di Megan Avenue 1, Blok C, 6-1, Jalan Tun Razak di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mazhazmi yang dibebaskan dengan jaminan RM20,000 pada 21 Disember lalu itu hadir ke mahkamah bersama isterinya.

Dia merupakan individu kedua yang didakwa di mahkamah sejak pendedahan mengenai kerugian RM2.1 bilion yang ditanggung oleh Sime Darby Bhd. (Sime Darby) pada Mei lalu.

Pada 6 Ogos tahun lalu, Pengurus Besar Sime Darby Holdings Bhd., Zamri Mohd. Iderus, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan menerima rasuah RM99,000 serta menggunakan maklumat harga bidaan tanpa kebenaran syarikat pada 2008

Manakala pada 3 Januari lalu, bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., Mohd. Zaki Othman, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,300 kerana membantu meluluskan dan mempercepatkan satu kontrak bernilai RM23.9 juta.

No comments:

Post a Comment