Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Beng Hock: Polis sedia siasat semula


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Polis sedia membuka kembali kertas siasatan berhubung kes kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock (gambar) sekiranya terdapat sebarang keterangan baru atau bukti yang memerlukan siasatan dijalankan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis akan menjalankan siasatan jika pihaknya menerima sebarang keterangan baru daripada mana-mana pihak.
"Berikutan mahkamah telah memutuskan penghakiman terbuka, PDRM akan menyiasat jika ada sebarang keterangan atau bukti baru dikemukakan.
"Bagaimanapun, sehingga semalam, belum ada pihak yang tampil dengan bukti, keterangan atau laporan baru," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Kelmarin, Mahkamah Koroner Shah Alam mengesahkan Beng Hock menemui ajal bukan kerana dibunuh.
Penghakiman selepas 18 bulan kematian itu turut menolak telahan bahawa Beng Hock maut kerana membunuh diri berikutan beberapa isu yang masih menjadi tanda tanya.
Keputusan mahkamah menolak kemungkinan bahawa Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu bagaimanapun tidak diterima oleh ahli keluarga dan penyokong mendiang.
Ditanya tentang keputusan tersebut, Tun Hisan menjelaskan, mahkamah telah mengeluarkan keputusan dengan segala bukti yang dikemukakan.
"Mahkamah telah membuat keputusan namun jika ada bukti baru, kita akan siasat," tegasnya.

No comments:

Post a Comment