01/01/2011 4:15pm
SEREMBAN — Pelajar sebuah kolej kejururawatan di Kota Damansara, Selangor, Qurratnaini Amni Jamaludin, 20, yang mendapat anak “segera” nekad untuk membela bayi yang diserahkan kepadanya secara tiba-tiba di Stesen KL Sentral semalam selepas mendapat persetujuan ibu bapanya.
Bapa gadis itu yang merupakan anggota bomba dari balai Teluk Kemang, Jamaludin Latif, 50, sudah memikirkan perkara itu semasak-masaknya walaupun beliau sudah mempunyai enam orang anak dan yang paling kecil berusia lima tahun.
"Saya, isteri dan anak-anak yang lain telah jatuh kasih dengan bayi tersebut. Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat senyuman anak yang tidak berdosa ini.
“Dia serasi dengan kami, menangis hanya apabila lapar sahaja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Hospital Seremban hari ini.
Bayi berusia seminggu itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kelaparan dan kekurangan glukos semalam.
Jamaludin akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat minggu depan bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas bayi itu.
Qurratnaini Amni mendapat bayi itu di KL Sentral selepas seorang wanita Melayu tiba-tiba menyerahkan bayi malang tersebut untuk dijaga sebentar dengan alasan mahu ke tandas.
Wanita tersebut bagaimanapun terus menghilangkan diri menyebabkan Qurratnaini Amni menghubungi keluarganya dan membawa bayi itu pulang ke rumahnya di pekan Rantau. — Bernama
No comments:
Post a Comment