Search This Blog

Monday, January 24, 2011

Barang kawalan disorok bawah timbunan tilam



CUBAAN sebuah bot kayu menyeludup keluar barang kawalan yang disorokkan di bawah tumbunan tilam terpakai gagal apabila kegiatan itu berjaya dikesan anggota Maritim Malaysia di muara Sungai Batu Pahat, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 23 Jan. - Pelbagai helah digunakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyeludup keluar barangan kawalan ke luar negara.
Terbaru di Batu Pahat, barangan kawalan tersebut cuba diseludup keluar dari negara ini menggunakan sebuah bot tukar barang dengan menyorokkan di bawah timbunan tilam dan pakaian terpakai.
Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat di muara Sungai Batu Pahat, kira-kira pukul 6 petang, semalam.
Ketua Penguat Kuasa Wilayah Maritim Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan menemui 153 kilogram (kg) gula pasir, minyak masak (145kg), tepung gandum (60kg) dan dua tong gas memasak.
Katanya, bot kayu itu dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Bangkalis, Indonesia.
"Kesemua barang kawalan itu bernilai RM676.95. Ia disembunyikan di bawah timbunan tilam dan pakaian terpakai yang diletakkan di atas geladak haluan kapal.
"Ini adalah taktik-taktik sering dilakukan penyeludup untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, seorang tekong dan dua anak kapal warga Indonesia berusia antara 32 dan 57 ditahan untuk membantu siasatan manakala bot tersebut ditempatkan di Jeti Kastam Batu Pahat.
Katanya, kes tersebut diserahkan kepada pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Batu Pahat dan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Barang 1961.
Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia Wilayah Selatan yang berpangkalan di Batu Pahat akan terus mempertingkatkan lagi pemeriksaan ke atas bot-bot di perairan ini bagi memastikan tiada barang-barang kawalan diseludup keluar.

No comments:

Post a Comment